Tarikh : 23 Januari 2024
Sumber : Utusan Borneo Online
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melancarkan satu dasar dan dua pelan tindakan keusahawanan untuk pelaksanaan.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pertama, Dasar Koperasi Malaysia 2030 sebagai hala tuju strategik bagi membina sektor koperasi yang berdaya tahan dan berprestasi tinggi.
“Kedua, Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027 sebagai perancangan komprehensif untuk memperkasa pembangunan serta menambah baik tahap sosioekonomi kumpulan penjaja, peniaga kecil secara holistik serta inklusif.
“Ketiga, Pelan Pemformalan Usahawan Informal sebagai dokumen strategik bagi memudahcara peralihan usahawan informal kepada perniagaan berdaftar agar mendapat perlindungan undang-undang serta jaringan keselamatan sosial yang sewajarnya,” katanya pada Majlis Amanat KUSKOP 2024 di sini, semalam.
Beliau berkata, KUSKOP juga telah memperkenalkan satu kategori penarafan perusahaan sosial (SE) yang baharu iaitu Tunas Perusahaan Sosial.
Katanya, penarafan ini dibuat secara kaedah penyataan kendiri bagi menggalakkan lebih banyak organisasi yang berhasrat untuk menjadi perusahaan sosial mendaftar dengan KUSKOP dalam melahirkan lebih banyak Perusahaan Sosial seperti yang dihasratkan di bawah Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030).
“Permohonan ini akan diproses dalam tempoh tiga hari bekerja oleh Institut Keusahawan Negara (INSKEN) dan tiada yuran pemprosesan dikenakan.
“Kita juga melancarkan peluncuran portal baharu Perusahaan Sosial yang akan menjadi pusat sehenti bagi rujukan maklumat terkini mengenai perusahan sosial di Malaysia.
“Melalui portal baharu ini, perusahaan sosial boleh memohon tiga tahap
penarafan perusahaan sosial sama ada di tahap permulaan yang dikenali sebagai Tunas Perusahaan Sosial, tahap pertengahan iaitu Perusahaan Sosial Asas atau tahap Perusahaan Sosial Diakreditasi,” katanya.
Katanya, daripada aspek pembangunan kapasiti dan keupayaan, seramai
51,033 usahawan dan koperasi telah menjalani program pemantapan kapasiti serta mendapat fasilitasi dan sokongan keusahawanan yang diperlukan.
Selain itu katanya, 331,025 individu telah mendapat pendedahan dan pembudayaan keusahawanan, di mana 95,255 daripadanya telah berjaya bergelar usahawan baharu yang mendaftar perniagaan.
Sementara itu katanya, KUSKOP juga sedang menyediakan kertas strategi bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada bulan April 2024.
“Sebagai persediaan, saya juga telah mengadakan satu sesi libat urus untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak PKS tentang isu dan cabaran serta cadangan fasilitasi yang diperlukan bagi pemerkasaan PKS,” katanya.
Sementara itu, KUSKOP berjaya menerima Anugerah Pembangunan Negara 2023.
Antara pencapaian lain oleh agensi kementerian berkenaan pada 2023 adalah Bank Rakyat yang menerima Outstanding Global Islamic Banker Excellence Award 2023, Suruhanjaya Koperasi Malaysia menerima Anugerah Pelanggan Setia Tender Wizard sejak 2015 dan audit bersih tanpa pindaan daripada Ketua Audit Negara.
Selain itu yang turut menerima anugerah adalah SME Corp., TEKUM Nasional, SME Bank, UDA Holdings Berhad (UDA), Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) dan Amanah Ikhtiar Malaysia.