Date : 15 May 2024
Resource : Suara Sarawak
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan pada tahun ini di Sarawak sebanyak RM4 juta dalam usaha memperkukuh industri francais di negeri Bumi Kenyalang.
Pernas menyasarkan RM50 juta bagi keseluruhan siri jelajah program BizFrancais pada tahun ini termasuk di tiga (3) negeri Pulau Pinang, Pahang dan Sabah. Pada tahun lalu, sebanyak RM25.23 juta telah berjaya disalurkan kepada para usahawan melalui program BizFrancais..
Pernas telah membiaya lebih daripada RM10 juta kepada usahawan Sarawak di mana lebih daripada 15 jenama francais dan pra-francais tempatan telah dibangunkan dengan bantuan Pernas sejak tahun 2004.
Program kolaborasi bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak ini merupakan lokasi pertama bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun 2024. Program BizFrancais telah diperkenalkan sejak tahun 2019 di mana Pernas telah menganjurkan 20 siri program BizFrancais di pelbagai negeri termasuklah Perak, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Manakala Encik Mazlan Ibrahim, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais menyatakan siri jelajah Program BizFrancais ini turut bermatlamat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan sambil mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang francais di negeri Sarawak.
Hadir sama Encik Chek Zainuddin Chek Jusoh, Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, KUSKOP, Encik Dolhadi Bin Haji Marzuki, Timbalan Setiausaha Tetap MySED dan Encik Nikk Adam Bin Hj Abdillah Kipalli, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti SEDC.
PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)
Pernas adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.
Mulai 2004, Pernas mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti seperti berikut:
- Skim pembiayaan yang merangkumi semua keperluan perniagaan termasuk perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja;
- Pembiayaan dan pelaburan ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor francais strategik; dan
- Khidmat latihan, bimbingan dan konsultasi untuk pembangunan usahawan ke arah perniagaan francais.
Pernas menyediakan khidmat latihan dan skim khas untuk francaisor dan francaisi dan mengalu-alukan rakan-rakan francais ke Malaysia. Selain itu, Pernas juga menawarkan perkhidmatan lain seperti latihan, penyewaan ruang runcit dan pelaburan ekuiti.
Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, Pernas juga mempunyai enam (6) pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah (Kota Kinabalu & Sandakan) dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi.