Date : 11 September 2024
Source : Sinar Bistari
Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Serai Group Sdn Bhd (Serai Group) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu langkah strategik untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan perniagaan, di Auditorium Tun Rahah, Menara PERNAS. Majlis ini menandakan komitmen kedua-dua organisasi untuk memajukan industri francais di Malaysia serta menyokong keusahawanan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
PERNAS dan SERAI GROUP berhasrat untuk mencetuskan inovasi dalam sektor francais, membuka peluang pekerjaan, dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Dengan kerjasama ini, PERNAS, yang beroperasi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), akan memanfaatkan kepakaran SERAI GROUP, sebuah syarikat yang terkenal dalam bidang makanan dan minuman, untuk membantu jenama tempatan berkembang di pasaran domestik dan global.
Kerjasama antara PERNAS dan SERAI GROUP akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting yang bertujuan untuk memajukan industri francais di Malaysia. Pertama, pengembangan pasaran akan dilakukan dengan meneroka peluang pasaran tempatan dan antarabangsa secara bersama.
Selain itu, sokongan keusahawanan akan diberikan kepada usahawan francais untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan. Antara tujuan kerjasama ini juga adalah memastikan peningkatan perkhidmatan akan dilaksanakan di mana PERNAS akan memperluaskan tawaran konsep perniagaan kepada usahawan Bumiputera, manakala SERAI GROUP akan mengembangkan perniagaan mereka. Melalui kerjasama ini, diharapkan dapat mencetuskan inovasi dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.
MoU ini ditandatangani oleh YM Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, dan Puan Qistina Taff, Pengarah Projek SERAI GROUP. Majlis ini disaksikan oleh Datuk Hazimah Zainuddin, Pengerusi PERNAS, dan Encik Najib Hamid, Pengarah Urusan SERAI GROUP, yang menunjukkan sokongan kuat terhadap kerjasama ini.
Kerjasama ini dijangka akan memberi impak positif kepada industri francais dan ekonomi Malaysia secara keseluruhan. Dengan inisiatif ini, diharapkan lebih banyak usahawan dapat memanfaatkan peluang yang ada, sekaligus memperkasa lanskap perniagaan di seluruh negara.