MEDAC sasar wujud 18,000 peluang pekerjaan francais

Date : 27 October 2021
Resouce : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) menyasarkan mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan membabitkan bidang francais dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata sasaran itu sejajar dengan komitmen jitu kementerian dan Pernas untuk melahirkan lebih ramai usahawan francais dengan membantu usahawan kecil-kecilan ke arah perniagaan lebih sistematik menerusi perniagaan francais.

Beliau berkata, Pernas menerusi program ‘Business In Transformation’ (BIT) atau Transformasi Perniagaan membantu peniaga kecil ke arah perniagaan francais, yang mana telah merangsang pertumbuhan model perniagaan ekonomi baharu, unik dan berdaya maju sekali gus memberi banyak pilihan kepada pengguna.

Katanya, peniaga kecil yang menyertai program itu telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka dengan penambahan outlet mereka, contohnya Putu Bambu World kini mempunyai 70 outlet berbanding 12 outlet ketika sebelum menyertai BIT.

“Jika dahulu industri francais didominasi oleh sektor makanan dan minuman, kini sektor perniagaan industri francais merangkumi sektor kecantikan dan kesihatan, pakaian, perkhidmatan dan penyelenggaraan, kedai serbaneka dan pasaraya peruncitan dan juga pusat pembelajaran serta asuhan kanak-kanak.

“Saya yakin industri francais adalah salah satu instrumen untuk merangsang ekonomi negara,” katanya pada Program Business In Transformation & Franchisor Engagement (BITFE) anjuran Pernas di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dan Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris.

Selain itu, Noh berkata, Pernas juga menyediakan program keusahawanan yang holistik dan berdaya saing menerusi Projek Be Your Own Boss (BYOB) yang disasarkan untuk golongan belia dan wanita Bumiputera menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam perniagaan francais dan pra-francais.

Selain itu, Noh berkata, kementeriannya juga telah meminta Pernas, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama dalam memudahkan urusan latihan, pembiayaan dan geran untuk usahawan francais.

Sementara itu, Zakaria berkata, Pernas menyediakan Program RECURVE yang menawarkan dana tambahan kepada usahawan bagi memulihkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukan bagi tujuan itu yang memanfaat lebih 350 orang usahawan francais Pernas sedia ada.

Katanya, Pernas juga menyediakan moratorium kepada peminjam yang layak bagi semua pembiayaan selama enam bulan dengan jumlah keseluruhan moratorium yang diluluskan adalah kepada 337 usahawan sebanyak RM9.32 juta.

“Sehingga kini, Pernas telah mengeluarkan lebih RM376 juta untuk membiaya 1,954 usahawan dan pada tahun ini, Pernas telah membiaya sebanyak RM16.9 juta kepada 55 usahawan.

“Pernas akan terus komited memastikan hasrat mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun serta melahirkan lebih ramai usahawan francais dapat dilaksanakan,” katanya.