Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi di setiap Parlimen

Tarikh : 7 Oktober 2021
Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi di setiap kawasan Parlimen bagi membolehkan maklumat serta peluang yang disediakan agensi di bawah kementerian sampai kepada rakyat.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata banyak program dilaksanakan kementerian untuk membantu rakyat yang mahu menceburi bidang keusahawanan dan usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS), namun kadangkala tidak diketahui golongan sasar itu.

“Justeru, melalui majlis ini, yang akan mempunyai pengerusi dan urus setianya, semua agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN Nasional) akan diletakkan di bawahnya.

“Kita juga akan membabitkan pemimpin tempatan untuk membantu dan menyampaikan maklumat mengenai peluang yang ada di bawah MEDAC,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Noh memaklumkan, MEDAC turut menyediakan skim pembiayaan kepada usahawan perindustrian mikro kecil dan sederhana (PKMS) yang gulung tikar akibat pandemik COVID-19 bagi memulihkan semula perniagaan mereka.

Antaranya adalah Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro 2.0 (CBRM 2.0) di bawah TEKUN yang menyediakan pembiayaan sehingga RM20,000, Skim Pembiayaan PKS BRFlex-i di bawah Bank Rakyat dengan pembiayaan sehingga RM1 juta dan program ‘Be Your Own Boss’ (BYOB) di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dengan pembiayaan sehingga RM500 ribu.

“MEDAC juga mengambil ketetapan supaya proses permohonan pembiayaan bagi dana kerajaan di bawah agensi MEDAC tidak akan mengambil kira penilaian CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dalam tempoh pandemik ini terutama bagi usahawan yang gulung tikar,” katanya.

Mengenai bantuan kepada usahawan India, Noh berkata, TEKUN Nasional menyediakan pembiayaan khusus kepada golongan itu menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).

“Pada 2020, sebanyak RM16.8 juta kepada 617 usahawan. Bagi Januari hingga Ogos 2021, TEKUN Nasional menyalurkan RM21.6 juta kepada 917 usahawan India, berbanding peruntukan yang disediakan sebanyak RM20 juta.

“Secara keseluruhannya, sejak SPUMI dilaksanakan pada 2008, kerajaan melalui TEKUN Nasional sudah menyalurkan sebanyak RM345 juta kepada lebih 23,446 usahawan kaum India,” katanya.