Tarikh : 30 Julai 2021
Sumber : Sinar Harian

SHAH ALAM – Hala tuju Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) tidak berubah walaupun agensi itu melaksanakan penjenamaan semula.

Mandat yang diberikan mulai tahun 2004 sebagai agensi pelaksana dalam membangunkan industri francais negara akan terus digalas bagi memantapkan lagi industri ini.

Pengerusinya, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, selaku salah satu sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, Pernas sentiasa berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri francais.

“Pernas akan meneruskan mandat yang diberikan kepada kami iaitu agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri francais negara.

“Kami akan terus merancakkan industri francais yang merupakan salah satu sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Industri francais mempunyai potensi yang besar untuk berkembang maju berdasarkan pertambahan jumlah perniagaan dan jenama dalam industri ini,” katanya dalam temu bual secara maya bersama Sinar Harian pada Rabu.

Zakaria berkata, ketika ini industri francais tidak lagi didominasi oleh sektor makanan dan minuman, sebaliknya semakin berkembang kepada pelbagai sektor.

Jelasnya, ketika ini sektor perniagaan industri francais merangkumi sektor kecantikan dan kesihatan, pakaian, perkhidmatan dan penyelenggaraan, kedai serbaneka dan pasar raya peruncitan dan juga pusat pembelajaran serta asuhan kanak-kanak.

Zakaria berkata, bagi menambah baik ekosistem francais di negara ini, Pernas turut mengambil inisiatif menjalin hubungan strategik dan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Kerjasama ini adalah sebahagian inisiatif Pernas dalam membangun dan memperkukuh sistem perniagaan usahawan-usahawan sedia ada dan bakal usahawan termasuklah peralihan daripada tenaga kerja mahir kepada usahawan francais,” katanya.

Jelas beliau, sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia, Pernas sentiasa komited dalam memajukan industri itu.

“Bagi memastikan industri francais terus berkembang dan kukuh, peranan Pernas bukan sekadar melahirkan lebih ramai usahawan francais, malah Pernas juga aktif dalam membangunkan jenama-jenama francais tempatan yang baharu.

“Kami menawarkan bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan konsultasi kepada para usahawan bagi memastikan mereka dapat membangunkan perniagaan agar lebih berkualiti dan berdaya saing,” ujar beliau.

Peluang pekerjaan

Dalam perkembangan sama, Zakaria turut memaklumkan Pernas melalui pelan lima tahun menyasarkan sebanyak 18,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam bidang francais.

Katanya, bagi menyokong hasrat tersebut, Pernas telah melancarkan dua projek terbaharu pada awal tahun ini sebagai menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan iaitu projek Be Your Own Boss (BYOB) dan projek Xcelerator.

Beliau berkata, sejak tahun 2004, pihaknya telah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.3 bilion kepada lebih 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.Beliau turut menambah bahawa Pernas akan terus komited dalam melahirkan lebih ramai lagi usahawan khususnya dalam perniagaan francais selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

“Selaras dengan penjenamaan semula ini nanti, kami menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan melahirkan ramai usahawan serta membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan.

“Penjenamaan semula PNS kepada Pernas bukan sahaja melibatkan transformasi jenama, malah meliputi kualiti perkhidmatan yang kami tawarkan kepada pelanggan dan usahawan kami,” katanya.

Selaras itu juga ujarnya, Pernas akan terus agresif dan bekerjasama dengan pihak MEDAC, kementerian-kementerian, persatuan-persatuan francais seperti Persatuan Francais Malaysia (MFA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA) dan penggiat francais untuk membawa industri ini ke tahap yang lebih membanggakan.

Pada Isnin, menerusi satu kenyataan MEDAC menyatakan pihaknya optimis penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad yang melibatkan pertukaran akronim dan logo daripada PNS kepada Pernas dapat memperkukuh kedudukan agensi itu sebagai peneraju industri francais negara sekali gus kekal relevan dalam industri.

Ia merupakan salah satu strategi untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan Pernas dalam industri francais seterusnya turut menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi-organisasi kerajaan yang lain.

Menurut Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, industri francais merupakan salah satu sektor utama selain daripada koperasi dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memberi impak penting dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).