Date : 1 Feb 2021
Resource : Dagang News

KUALA LUMPUR, Feb 26 — Perbadanan Nasional (PNS) merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi  (MEDAC) dalam strategi lima tahunnya menyasarkan sebanyak 5,000 kelulusan pembiayaan kepada para usahawan di mana PNS menjangkakan  akan mengembangkan portfolio francaisnya sebanyak 400% dari RM178 juta kepada RM700 juta.

Usaha ini dijangka akan menghasilkan 18,000 peluang pekerjaan baharu dan akan menyumbang sebanyak RM4.4 bilion kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi mencapai hasrat ini, PNS akan mewujudkan ekosistem francais yang lebih berkesan dengan rantaian nilai yang menyeluruh disokong oleh teknologi digital di samping memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi golongan Bumiputera melalui bidang keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keusahawanan francais mampu membantu usahawan Bumiputera dalam meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka khususnya melalui program ‘Business In Transformation (BIT)’ yang menggalakkan para usahawan mengembangkan perniagaan mereka melalui francais. Sejak tahun 2005, PNS telah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM463juta kepada 2,529 usahawan.

“Kerjasama antara MEDAC dan PNS membuktikan pihak Kementerian dan agensi komited mewujudkan rangkaian kerjasama bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang mengadaptasi konsep perniagaan seperti ini,”

“Langkah ini dilihat mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi khususnya dikalangan entiti Bumiputera untuk meneroka bidang keusahawanan francais,” dalam kenyataannya hari ini.

Ketua Pegawai Operasi PNS, Encik Hilaluddin Abd Shukor berkata, industri francais tempatan mempunyai potensi yang besar untuk diterokai dan para usahawan khususnya usahawan mikro perlu berani mengambil langkah proaktif untuk menceburi industri francais terutamanya dalam mengadaptasi digitalisasi.

Selain itu, beliau turut menyatakan program BIT  memfokuskan pembangunan perniagaan mikro bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui francais.

“Program BIT dapat membantu usahawan mikro berpotensi untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan industri francais khususnya ketika pasca Covid-19”,

Untuk tahun ini PNS bakal melancarkan dua inisiatif baru iaitu ‘Projek Xcelerator’ dan ‘Projek Be Your Own Boss’ yang menyasarkan lima (5) usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi.

“PNS memperuntukkan sebanyak 35 juta untuk projek-projek ini bertujuan untuk melahirkan lebih banyak usahawan yang berdaya saing dalam memperkukuhkan lagi penyertaan dari usahawan Bumiputera, belia, wanita dan siswazah dengan menawarkan panduan dan latihan komprehensif, pembiayaan serta akses kepada kepada pasaran semasa,” kata beliau.

“Di bawah projek BYOB, PNS menawarkan dua program iaitu “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET)” untuk wanita dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY)” yang menawarkan latihan dan pembiayaan bagi membantu usahawan-usahawan berpotensi dari golongan ini menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,” tambah beliau.

Malah, PNS bakal berkolaborasi dengan beberapa kementerian yang berpotensi untuk membantu meluaskan capaian program ini seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui program kerjasama strategik kementerian dan agensi-agensi MEDAC  bagi memastikan inisiatif projek ini berjaya mencapai golongan sasaran.

Menurut Mohd Hilaluddin, PNS berharap kerjasama yang dilaksanakan ini merupakan satu langkah strategik untuk mengenalpasti dan memperkasakan golongan wanita dan belia menjadi pemilik perniagaan yang berjaya.

“Melalui program BIT, PNS telah membangunkan 127 perniagaan pra-francais di mana para usahawan dilatih untuk mengembangkan perniagaan mereka menjadi jenama francais tempatan yang berjaya. Justeru, kami berharam melalui projek Xcelerator dapat membantu memacu perniagaan mereka menjadi perniagaan francais dalam tempoh kurang satu tahun,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, PNS telah membantu dan menyokong pelbagai jenama francais tempatan seperti Genius Aulad, Marrybrown, Menara Optometry, Asam Pedas Premier, Tealive, MD Putu Bamboo World melibatkan 157 cawangan dan jumlah pembiayaan sebanyak 30.5 juta. – DagangNews.com