Pernas menyediakan perkhidmatan bersepadu

Date : 28 September 2021
Resouce : Berita Harian

SEJAK diberi mandat untuk membangunkan industri francais di Malaysia pada tahun 2004, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais.

Ini termasuklah francaisor dan francaisi dan membangunkan jenama francais tempatan yang baharu bukan sahaja di peringkat domestik, malah antarabangsa.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir usahawan yang berminat untuk menyertai industri francais, namun ragu-ragu daripada sudut kemampuan kewangan kerana ada jenama francais yang memerlukan kos terlalu tinggi.

Ketua Jabatan Pembiayaan Francais, Pernas, Azizam Ali, berkata terdapat banyak jenama francais yang terdapat di pasaran dengan kos mampu milik di bawah RM250,000 mahu pun RM100,000 seperti HOME (Math Therapy Centre), Hot & Roll, Nelson, Kumon, MD Putu Bambu World dan banyak lagi.

Katanya, bagi mereka yang memerlukan bantuan pembiayaan, Pernas menawarkan skim bersesuaian untuk mencukupkan modal sumbangan daripada pemohon seperti skim pembiayaan francais, francais mikro dan juga prafrancais.

“Skim pembiayaan francais adalah khas untuk perniagaan berstatus francais sama ada francaisor atau pun francaisi. Bagi prafrancais, ia adalah khusus kepada syarikat yang mempunyai potensi francais di dalam status peralihan dari model perlesenan kepada model francais.

“Bagi perniagaan berstatus francais, ia dilindungi di bawah Akta Francais 1998 dan kontrak perjanjian manakala bagi syarikat perlesenan atau prafrancais adalah di bawah perlindungan kontrak perjanjian sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara BH: Ada apa dengan Pernas yang disiarkan secara langsung melalui Facebook BH Online, Khamis lalu.

Dihoskan oleh Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Datin Seri Fazilah Hani Harun, ia turut dihadiri Ketua Institut Francais (FI), Pernas, Dr Muhammad Hafizi Sulaiman.

Skim pembiayaan mampu milik

Azizam berkata, skim pembiayaan francais dengan kos mampu milik menawarkan fasiliti pembiayaan bagi kos sekecil RM5,000 hingga sebesar RM2 juta.

Satu skim khusus untuk francais pakej mikro di bawah RM100,000 yang dipanggil Skim Pembiayaan Kecil Francais juga disediakan dengan caj kadar keuntungan serendah tiga peratus setahun bagi tempoh lima tahun.

“Di samping itu, sebagai peneraju francais negara, Pernas menyediakan pembiayaan Skim Business In Transformation (BIT) kepada prafrancaisi (khas buat principalnya yang sedang dalam peralihan kepada sistem francais) di mana pembiayaan untuk perniagaan berasaskan kiosk dan kecil-kecilan diberikan sehingga RM25,000.00,” katanya.

Program khas untuk wanita

Pernas turut memperkenalkan inisiatif Be Your Own Boss (BYOB) yang melahirkan usahawan francais atau prafrancais dalam kalangan golongan B40 dan M40 yang menyasarkan wanita dan belia negara.

Ia didukung oleh dua program iaitu Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) dan Youth Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) khas untuk wanita yang belum mencapai usia 60 tahun dan belia sehingga umur 40 tahun.

Azizam berkata, projek ini unik dengan adanya kerjasama daripada pelbagai kementerian, agensi, pertubuhan perniagaan dan juga pemain francais dalam negara bagi mencari golongan sasar yang berpotensi dan membimbing supaya Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dapat direalisasikan.

“Peserta boleh membuat permohonan menerusi borang yang boleh didapati di laman web Pernas.

“Permohonan akan ditapis menerusi semakan kredit dan ujian psikometrik sebelum peserta diserapkan ke dalam kelas untuk menjalani latihan berstruktur selama 20 hari sebelum menjalani proses padanan perniagaan,” katanya.

Katanya, bantuan pembiayaan hanya akan diberi selepas peserta mendapat tawaran perniagaan francais daripada principal atau pemilik francais atau prafrancais.

“Selepas dana pembiayaan disalurkan, bimbingan dan pemantauan dalam tempoh kritikal enam bulan pertama akan dijalankan oleh Pernas bersama francaisor atau prafrancaisor sehinggalah perniagaan peserta berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Tawar khidmat rundingan

Sementara itu, Muhammad Hafizi berkata, FI sedia menawarkan perkhidmatan rundingan dan konsultansi dalam pelbagai bidang yang tidak terhad kepada industri francais dan latihan buat sesiapa sahaja yang berkeinginan untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang francais.

Katanya, FI menyediakan program berstruktur, bermodul dan berkualiti melalui bimbingan pelatih bertauliah serta berpengalaman.

“Kami juga memberikan latihan melalui pendekatan secara andragogi (Adult Learning Approach) supaya peserta tidak mudah bosan dan mudah faham sekiranya menghadiri program latihan.

“FI juga menawarkan Program Konsultansi Francais, Program Pemantapan Francaisor yang memberi peluang kepada usahawan francais untuk memantapkan lagi perniagaan francais dari segi operasi, pemasaran, sistem kewangan dan sebagainya,” katanya.

Modul berstruktur

FI menawarkan modul latihan berstruktur supaya usahawan boleh mempelajari serta menimba ilmu mengenai francais bermula dari asas francais sehingga ke arah yang lebih tinggi.

Untuk usahawan yang baru ingin mendalami apa itu francais, mereka boleh menyertai Program ‘Roadmap to Francais’ di mana program yang berlangsung selama satu hari ini memberi gambaran umum perniagaan francais, syarat asas pendaftaran francais, kelebihan perniagaan francais, mengenal pasti perbezaan perniagaan francais dengan perniagaan tradisional dan sebagainya.

Seterusnya, mereka juga boleh meneruskan program latihan dua hari iaitu modul ‘Why Franchising yang menawarkan dua modul iaitu ‘Franchise Business Plan’ dan Franchise Legal Requrement’.

Di dalam program ini, mereka mempelajari selok-belok dalam menyediakan rancangan perniagaan yang lebih sistematik dan efektif, selain dapat merancang idea perniagaan yang lebih terperinci, terancang untuk dilaksanakan.

Usahawan juga akan mempelajari dengan lebih mendalam mengenai akta di dalam perniagaan francais.

Seterusnya, peserta boleh meneruskan kepada program tiga modul selama enam hari iaitu ‘Financial Management’, Franchise Business Operation Franchise dan Franchise Markerting yang lebih menjurus kepada memantapkan perniagaan francais sedia ada.

Muhammad Hafizi berkata, FI turut menyediakan program pensijilan selama 10 hari untuk usahawan yang berminat.

“Antara modul yang ditawarkan adalah ‘Franchise Atmosphere’ Franchise Regulation & Legal Requirement, Franchise Relationship & People Management, Franchise Marketing dan Franchise Operation.

“Dengan adanya program pensijilan ini, sedikit sebanyak dapat membantu usahawan mengurus perniagaan dengan lebih berkesan,” katanya.

Layari laman web Pernas untuk maklumat lanjut mengenai industri francais.