Pernas tawar pembiayaan francais melalui Program BYOB

Date : 30 July 2021
Resouce : Sinar Harian

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) membuka lebih banyak peluang keusahawanan terutama kepada golongan belia dan wanita dengan menyediakan program keusahawanan holistik dan berdaya saing melalui projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’.

Inisiatif ini adalah salah satu dari strategi untuk merealisasikan mandate Pernas untuk merancakkan sektor francais di Malaysia.

Selain itu, Pernas menjalankan aktiviti pembangunan sektor francais melalui program promosi, latihan, pembiayaan francais dan pra-francais, pembangunan produk serta penyelidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor berkata, Pernas kini sedang giat memacu keusahawanan francais melalui beberapa program dan produk baharu dengan matlamat untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan, meningkatkan peluang pekerjaan dan membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa sekali gus menyumbang kepada peningkatan KDNK negara.

Menurut beliau, projek BYOB yang mula diperkenalkan pada awal tahun ini menawarkan program-program keusahawanan yang menyeluruh dengan sasaran utama diberikan kepada golongan wanita dan belia menerusi program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET)” dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY).

Mengulas lanjut mengenai program SWEET dan YOUNITY, beliau menyatakan saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga 90 peratus bergantung kepada pakej perniagaan yang dimiliki.