PNS kini dikenali sebagai Pernas

Date : 21 June 2021
Resouce : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yakin penjenamaan semula Perbadanan Nasional Bhd (PNS), yang membabitkan pertukaran akronim dan logo daripada PNS kepada Pernas, dapat memperkukuhkan lagi kedudukan agensi itu sebagai peneraju pertumbuhan industri francais di Malaysia.

Ia adalah salah satu strategi untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan Pernas dalam industri francais, seterusnya turut menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi kerajaan yang lain.

Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata industri francais adalah salah satu sektor utama selain daripada koperasi serta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memberi impak penting selain menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, di samping perniagaan francais, Pernas juga membangunkan usahawan PKS ke arah francais mampu milik agar lebih ramai bakal usahawan dapat menceburi bidang perniagaan francais.

“Perniagaan francais dilihat sebagai model perniagaan pilihan usahawan memandangkan perniagaan francais ini mempunyai sistem perniagaan yang mudah diikuti dan berkesan dalam membangunkan usahawan tempatan.

“Saya amat yakin, ia dapat mencapai sasaran MEDAC melahirkan 100 orang jutawan setahun dalam kalangan PKS,” katanya dalam satu kenyataan.

Industri francais berkembang pada tahap yang membanggakan dengan peningkatan nilai jualan tahunan sebanyak 17.3 peratus iaitu RM13.3 bilion berbanding RM11 bilion pada 2019.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd Hilaluddin Abd Shukor, berkata industri francais tempatan mempunyai potensi yang besar untuk diteroka.Sehingga kini, sebanyak 1,077 syarikat francais berdaftar, yang mana daripada jumlah itu, sebanyak 68 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 negara.

Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris, berkata sejak 2004 sehingga kini, Pernas sudah mengeluarkan pembiayaan hampir RM1.3 bilion kepada lebih 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, selaras dengan penjenamaan semula itu, Pernas akan terus agresif membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan termasuklah melancarkan dua projek terbaharunya, Projek Xcelerator dan Projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’ pada awal tahun dengan sasaran melahirkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi.

Pernas dan agensi di bawah MEDAC akan bergerak seiring mendokong hasrat MEDAC menjadikan keusahawanan dan koperasi sebagai agenda utama ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan inklusif.

“Untuk tahun ini, PNS bakal melancarkan dua inisiatif baharu iaitu ‘Projek Xcelerator’ dan ‘Projek Be Your Own Boss (BYOB)’ yang menyasarkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” katanya.

Penjenamaan semula itu membabitkan pengenalan logo dan warna baharu yang lebih moden serta segar yang melambangkan sokongan diberikan Pernas melalui usaha memperkasakan usahawan. — BH.