Usahawan disaran rebut peluang perniagaan francais

Date : 13 November 2021
Resouces : Sinar Harian

SANDAKAN: Usahawan di negara ini, khususnya pengusaha kecil dan sederhana (PKS) serta golongan yang pernah terkesan dengan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas, harus merebut peluang dalam perniagaan francais yang semakin berkembang.

Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, pertumbuhan industri francais negara semakin berkembang sejak 2016 dan mampu memperbaiki ekonomi para usahawan yang menceburi perniagaan itu.

“Potensi industri francais sangat besar kerana kita boleh melihat industri ini menunjukkan perkembangan positif dari tahun ke tahun.

“Menurut Laporan Tahunan Perniagaan Francais, nilai jualan sebanyak RM8.66 bilion pada 2016 telah melonjak kepada RM13.3 bilion pada 2019,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program BizFrancais Pernas di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Sukor.

Zakaria berkata, Pernas bersedia membantu usahawan yang berminat untuk menceburi perniagaan francais dan telah meluluskan RM7.7 juta pembiayaan susulan penganjuran program BizFrancais di lapan lokasi di seluruh negara sejak digerakkan pada 2019.

Bagi program itu di Sandakan, beliau berkata, Pernas mensasarkan potensi pembiayaan kira-kira RM2.97 juta.

Zakaria yang juga Ahli Parlimen Libaran turut meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk merangka kertas kerja untuk beliau bangkitkan dalam mesyuarat lembaga ahli pengarah Pernas mengenai cadangan mewujudkan satu lagi koridor di Sabah berpusat di Sandakan.

</div>
</section></div>