24 Mei 2025 • Petaling Jaya • Sabah News
PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Program ‘Dapur Digital’ membuka ruang kepada usahawan kecil, khsusunya wanita dan belia menjana pendapatan melalui platform digital.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan kebolehan peserta dalam bidang kulinari, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat, seiring dengan matlamat kerajaan untuk membina masyarakat yang berdaya tahan, celik teknologi dan berdikari dalam dunia ekonomi moden.
“Inisiatif seperti ini perlu diperluaskan dan disokong agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat ekonomi digital, sekali gus merealisasikan visi Malaysia sebagai negara maju yang inklusif dan progresif di bawah kerajaan MADANI.
“Sebagai contoh, seorang suri rumah sepenuh masa kini mampu menjana sehingga RM5,000 sebulan melalui perniagaan cloud kitchen hasil bimbingan daripada program ini. Ia bukan suatu pencapaian kecil, tetapi ini adalah perubahan besar yang meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Micro-Credential Dapur Digital, di UNITAR International University, di sini baru-baru ini.
Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melaksanakan pelbagai program latihan dan sokongan kepada usahawan mikro, khususnya wanita dan kumpulan berpendapatan rendah.
“Antaranya ialah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) oleh SME Corp. Malaysia bertujuan memperkasa usahawan mikro melalui sokongan kewangan, latihan, dan bimbingan,” katanya.
Selain itu katanya, KUSKOP melalui Bank Rakyat turut melaksanakan Program RAKYATpreneur 6.0 untuk memperkasa usahawan mikro, khususnya golongan berpendapatan rendah, melalui sokongan kewangan dan latihan keusahawanan yang menyeluruh.
“Bagi membangunkan keupayaan dan kompetensi usahawan, INSKEN iaitu sebuah agensi latihan dan pembangunan usahawan di bawah KUSKOP, melaksanakan pelbagai kursus seperti Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis, Kursus Asas Industri, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Latihan Bisnes INSKEN,” katanya.
Katanya lagi, kemudahan pembiayaan lain khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan wanita yang dilaksanakan oleh agensi di bawah KUSKOP ialah, Projek Be Your Own Boss oleh PERNAS, Skim Pembiayaan Ikhtiar oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, program MySMELady 2.0 oleh SME Bank serta pelbagai skim pembiayaan mikro di bawah TEKUN.
“Saya menyeru semua peserta supaya memanfaatkan sepenuhnya program-program yang ditawarkan oleh KUSKOP, UNITAR International University, Pepper Labs dan Yayasan Hasanah supaya perniagaan mereka terus berkembang dan maju,” katanya.
Ewon berkata, kerajaan melalui kerangka Malaysia MADANI sentiasa berusaha memperkasa rakyat dengan memberi tumpuan kepada nilai-nilai keadilan, keterangkuman dan kemampanan.
“Dalam semangat ini, kerajaan menyokong sepenuhnya pelaksanaan program ini sebagai satu inisiatif inovatif yang memberi peluang kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, untuk memanfaatkan teknologi digital dalam saling melengkapi kemahiran bidang kulinari,” katanya.
Pada majlis itu seramai 46 peserta daripada golongan wanita masing-masing menerima sijil graduasi. Program Micro-Credential Teknologi Dapur Digital dianjurkan dengan kerjasama UNITAR International University, Pepper Labs dan Yayasan Hasanah.
