24 Mei 2025 • Shah Alam • Sinar Harian
SHAH ALAM - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melaksanakan kerjasama strategik dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bagi melancarkan Pertandingan Keusahawanan Pitch & Grow bersempena National Training Week (NTW) 2025.
HRD Corp dalam satu kenyataan berkata, pertandingan tersebut bertujuan untuk memupuk pembangunan keusahawanan melalui penyediaan alatan, bimbingan dan pendedahan yang diperlukan.
Menurutnya, inisiatif tersebut berkonsepkan rancangan Shark Tank yang menawarkan platform kepada peserta untuk membentangkan idea perniagaan inovatif mereka di hadapan panel juri.
“Pertandingan ini merupakan salah satu aktiviti berimpak tinggi di bawah NTW 2025 yang bertujuan untuk memupuk pembangunan keusahawanan.
“Melalui pertandingan ini, peserta boleh menerima maklum balas daripada pakar peniagaan, bersaing dalam merebut hadiah menarik di samping berpotensi menerima sokongan bagi merealisasikan rancangan perniagaan mereka,” katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, antara hadiah yang ditawarkan ialah wang tunai kepada tiga pemenang utama dipilih oleh juri daripada Pernas dan HRD Corp.
“Tempat pertama akan memperoleh hadiah bernilai RM10,000, tempat kedua sebanyak RM5,000 manakala tempat ketiga pula peserta akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000,”ujarnya.
Selain itu, HRC Corp berkata, peserta yang disenarai pendek untuk pertandingan itu akan terpilih untuk mengikuti Bengkel Cadangan Perniagaan yang dianjurkan oleh Pernas di bawah Franchise Institute.
Tambahnya, selepas pertandingan dijalankan, finalis akan menerima bimbingan dan sokongan perniagaan selama tiga hingga enam bulan oleh Pernas.
Inisiatif ini dapat menambah elemen keseronokan dan kepantasan dalam proses keusahawanan, mendorong peserta untuk berfikir secara strategik, menyampaikan impak dan memperhalusi nilai cadangan mereka di hadapan barisan juri yang berpengalaman.
“Bengkel perniagaan ini bertujuan untuk memperkukuh kemahiran peserta dalam membangunkan cadangan perniagaan dan membentangkannya secara efektif.
“Bimbingan kepada peserta merupakan komponen penting dalam membantu peserta melaksanakan perusahaan mereka selain memperhalusi rancangan perniagaan dengan lebih berkesan.
“Kerjasama ini merupakan satu kejayaan dalam usaha berterusan HRD Corp bagi memupuk peningkatan kemahiran, inovasi dan penyertaan berkaitan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia, sejajar dengan matlamat NTW 2025,” jelasnya.
