Penyaluran pembiayaan RM21 juta bagi memperkasa usahawan francais

27 Julai 2026 • Pulau Pinang • Apa Khabar TV

Pembiayaan perniagaan francais berjumlah RM21 juta telah diberikan kepada 69 usahawan francais Bumiputera bersempena program Bizfrancais 2026 anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang berlangsung serentak dengan Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026.

PULAU PINANG: Pembiayaan perniagaan francais berjumlah RM21 juta telah diberikan kepada 69 usahawan francais Bumiputera bersempena program Bizfrancais 2026 anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang berlangsung serentak dengan Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026.

Inisiatif ini bertujuan membantu usahawan memulakan, mengembangkan dan memperkukuh perniagaan francais secara mampan, sekaligus meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam industri francais.

Seramai 69 usahawan francais bumiputera telah menerima pembiayaan antara RM40,000 hingga RM1 juta bagi setiap perniagaan. Kesemua penerima akan mengembangkan perniagaan francais mereka di wilayah utara Semenanjung Malaysia, meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

Program Bizfrancais 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai 2026 telah menghimpunkan 25 jenama francais di bawah bimbingan Pernas.

Antara usahawan francais yang terlibat termasuklah usahawan di bawah jenama Bonda Learning Centre, Bateriku, City Coin Laundry, Genius Aulad, Yumi Food dan XG Coating.

Penganjuran Bizfrancais 2026 bersempena PIHEX 2026, yang menampilkan lebih 200 reruai pameran daripada pelbagai sektor industri halal, mewujudkan platform strategik yang menghubungkan ekosistem francais dan halal negara.

Sinergi ini dijangka memperkukuh daya saing usahawan, menggalakkan kolaborasi industri serta memperluas peluang pertumbuhan dan pengembangan perniagaan ke pasaran yang lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad, Datuk Nor Azam M. Taib, berkata Pernas terus komited memperkasakan pembangunan usahawan francais Bumiputera menerusi penyediaan pembiayaan, pembangunan kapasiti dan sokongan pembangunan perniagaan secara menyeluruh.

“Pada tahun 2025, Pernas telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM16.28 juta kepada usahawan francais Bumiputera. Bagi tahun 2026, kami menyasarkan untuk membantu 150 usahawan dengan anggaran pembiayaan keseluruhan sebanyak RM41 juta.

“Sasaran ini mencerminkan komitmen berterusan Pernas dalam melahirkan lebih ramai usahawan francais Bumiputera yang berdaya saing, berdaya tahan dan mampu mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selain menawarkan akses kepada pembiayaan, Bizfrancais 2026 turut menyediakan platform pembangunan usahawan melalui khidmat nasihat, program pembangunan perniagaan ke arah francais, latihan keusahawanan serta peluang jaringan perniagaan bersama pemain industri.

Program ini turut mengetengahkan pelbagai peluang francais dalam sektor makanan dan minuman, pendidikan, kesihatan, kecantikan, perkhidmatan dan teknologi.

Selaras dengan agenda memperluaskan pembangunan industri francais di seluruh negara, Pernas akan meneruskan penganjuran siri Bizfrancais di beberapa lokasi strategik termasuk Sabah dan Sarawak pada September 2026, bagi memastikan lebih ramai usahawan berpotensi mendapat akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti dan peluang mengembangkan perniagaan melalui model francais.


 

 

 

Apa Khabar TV

Pernas Salur RM21 Juta Perkasa Usahawan Francais

George Town

GEORGE TOWN, 28 Julai – Sebanyak 69 usahawan francais bumiputera menerima pembiayaan perniagaan

Pernas Hands Out RM21 Million In Franchise Financing To 69 Bumiputera Entrepreneurs At PIHEX 2026

Pulau Pinang

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) delivered RM21 million in franchise financing to 69 Bumiputera

Penyaluran Pembiayaan RM21 Juta Bagi Memperkasa Usahawan Francais

Pulau Pinang

Penyaluran pembiayaan perniagaan francais berjumlah RM 21 juta telah diberikan kepada 69 usahawan