10 Ogos 2024 • Damansara
DAMANSARA, 10 OGOS 2024 - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Focus Point Vision Care Group
Sdn. Bhd. (Focus Point) melalui Program PERNAS Prihatin Sumbangan Cermin Mata Focus Point di Parlimen Sungai Buloh.
Menurut YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh, program ini bertujuan membantu golongan yang memerlukan di kawasan tersebut di mana sebanyak 300 cermin mata diberikan kepada golongan pelajar yang memerlukan bantuan alat penglihatan yang telah dikenalpasti daripada sekolah-sekolah di sekitar Sungai Buloh iaitu SMK Rahman Putra, SJK (T) Bukit Darah dan SJK (C) Subang.
Sumbangan cermin mata dan pemeriksaan mata secara percuma merupakan inisiatif PERNAS bersama Focus Point iaitu sebuah syarikat rangkaian optik terbesar di Malaysia. Pada tahun ini, PERNAS telah melaksanakan pelbagai program CSR termasuklah Program Sinar Ramadan, Program Kampung Angkat MADANI, Sumbangan Bantuan Persekolahan dan bantuan wang tunai kepada pengamal-pengamal media. Manakala, Focus Point telah melaksanakan 18 program CSR dengan melaksanakan pemeriksaan mata percuma kepada lebih 10,000 pelajar. Focus Point juga telah menyumbang sebanyak lebih 830 cermin mata kepada golongan yang memerlukan bantuan penglihatan pada tahun ini.
Program pada hari ini membuktikan inisiatif Kementerian, agensi dan syarikat swasta dalam membantu golongan yang memerlukan di mana usaha ini diharap dapat dijadikan contoh dan galakan kepada syarikat-syarikat dan agensi-agensi lain di luar sana.
Program Pernas Prihatin Sumbangan Cermin Mata Focus Point turut dihadiri oleh Encik Mazlan Ibrahim, Ketua Bahagian Pelaburan PERNAS dan Dato’ Liaw Choon Liang, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Vision Care Group Sdn. Bhd.
Untuk urusan media, sila hubungi: Datin Suriani Abdul Rahman, Jabatan Komunikasi Strategik Pernas melalui emel, [email protected] atau hubungi talian 03-2082 7941/012-201 7132.
PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)
PERNAS adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.
Mulai 2004, Pernas mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yang
berkualiti seperti berikut:
- Skim pembiayaan yang merangkumi semua keperluan perniagaan termasuk perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja;
- Pembiayaan dan pelaburan ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor francais strategik; dan
- Khidmat latihan, bimbingan dan konsultasi untuk pembangunan usahawan ke arah perniagaan francais.
Pernas menyediakan khidmat latihan dan skim khas untuk francaisor dan francaisi dan mengalu-alukan rakan-rakan francais ke Malaysia.
Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, Pernas juga mempunyai lima (5) pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi.
Muat Turun PDF