3 Ogos 2024 • Kuantan
KUANTAN, 3 OGOS 2024 - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menyasarkan potensi pembiayaan pada tahun ini sebanyak RM4 juta dalam usaha memperkukuh industri francais di tiga (3) negeri di pantai timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.
PERNAS menyasarkan RM50 juta bagi keseluruhan siri jelajah program BizFrancais pada tahun ini termasuk di tiga (3) negeri Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Pada tahun lalu, sebanyak RM25.23 juta telah berjaya disalurkan kepada para usahawan melalui program BizFrancais.
PERNAS telah membiaya sebanyak RM46 juta kepada usahawan di pantai timur di mana sebanyak 212 syarikat telah dibangunkan dengan pembiayaan dan latihan Pernas sejak tahun 2010.
Program BizFrancais Pahang 2024 merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun ini selepas negeri Sarawak dan Pulau Pinang. Program BizFrancais telah diperkenalkan sejak tahun 2019 di mana Pernas telah menganjurkan 22 siri program BizFrancais di pelbagai negeri termasuklah Pulau Pinang, Perak, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Bercakap ketika Majlis Perasmian Program BizFrancais Pahang 2024, Dato’ Hazimah Zainuddin, Pengerusi PERNAS menyatakan PERNAS komited dalam usaha membantu jenama-jenama francais tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mengenal pasti jenama antarabangsa untuk dibawa ke pasaran Malaysia.
Menurut beliau, PERNAS turut melaksanakan inisiatif berterusan dalam memperkasa keusahawanan francais melalui pendedahan kepada orang ramai mengenai perniagaan francais bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan. Usaha ini sekali gus membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan sambil mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang francais.
Hadir sama YB Dato’ Amizar Abu Adam, EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi PERNAS, Encik Chek Zainuddin Chek Jusoh, Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, KUSKOP, Dato’ Shamsuddin Mohd Mahayidin dan Encik Ismail Abd Halim, ahli Lembaga Pengarah PERNAS.
Untuk urusan media, sila hubungi: Datin Suriani Abdul Rahman, Jabatan Komunikasi Strategik Pernas melalui emel, [email protected] atau hubungi talian 03-2082 7941/012-201 7132.
PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)
PERNAS adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.
Mulai 2004, Pernas mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti seperti berikut:
- Skim pembiayaan yang merangkumi semua keperluan perniagaan termasuk perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja;
- Pembiayaan dan pelaburan ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor francais strategik; dan
- Khidmat latihan, bimbingan dan konsultasi untuk pembangunan usahawan ke arah perniagaan francais.
Pernas menyediakan khidmat latihan dan skim khas untuk francaisor dan francaisi dan mengalu-alukan rakan-rakan francais ke Malaysia.
Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, Pernas juga mempunyai lima (5) pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi.
Muat Turun PDF