23 September 2026 • Miri, Sarawak
MIRI, SARAWAK, 23 September 2026 – Dengan tempoh kurang daripada lima tahun menuju 2030, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) terus mempergiatkan usaha mempromosikan dan memperluaskan perniagaan francais di seluruh Malaysia, selaras dengan sasaran Dasar Francais Negara 2030 (DFN20230) untuk membangunkan 25,000 usahawan francais menjelang 2030.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan akses kepada peluang perniagaan francais, Pernas membawa platform BizFrancais ke Miri, Sarawak menerusi kerjasama dengan Karnival Jom Heboh. Berlangsung dari 25 hingga 27 September 2026 di Miri Boulevard, acara ini akan menampilkan reruai BizFrancais Pernas yang menghimpunkan 20 usahawan dan jenama francais dari seluruh Malaysia.
Penyertaan ini turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama agensi di bawah KPDN seperti Pernas, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), bagi menyediakan maklumat dan sokongan kepada bakal usahawan serta pemilik perniagaan baharu.
Antara jenama yang menyertai BizFrancais Pernas di Miri ialah UNCLEBOB, XG Coating, Kaara Saaram Claypot, ShefuMart, MENSCULINE, The Manhattan Fish Market, Robert T. 1994 Optical, Marrybrown dan Eartheories, yang mewakili pelbagai sektor perniagaan dan konsep francais.
Penyertaan yang pelbagai ini mencerminkan usaha berterusan Pernas untuk menggalakkan kepelbagaian yang lebih luas dalam industri francais Malaysia, yang kini tidak lagi terhad kepada sektor makanan dan minuman (F&B), malah turut merangkumi sektor perkhidmatan, kecantikan, automotif, pendidikan serta pelbagai segmen perniagaan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib, berkata organisasi itu terus mempergiatkan inisiatif untuk mendidik, membimbing dan memudah cara lebih ramai usahawan Malaysia meneroka bidang francais sebagai salah satu saluran pertumbuhan perniagaan yang lebih tersusun.
“Pernas terus memperkukuh usaha untuk mendekatkan peluang francais kepada usahawan di seluruh negara. Melalui platform seperti BizFrancais, kami berhasrat memberikan pendedahan yang lebih luas kepada bakal usahawan mengenai jenama francais yang telah kukuh, di samping menyediakan maklumat dan bimbingan yang dapat membantu mereka membuat keputusan yang lebih berinformasi sebelum menceburi industri francais.”
“Fokus kami juga adalah untuk memperluaskan ekosistem francais dengan menggalakkan usahawan meneroka peluang dalam pelbagai sektor francais, melangkaui bidang F&B. Penyertaan jenama daripada pelbagai sektor menunjukkan kepelbagaian dan potensi yang semakin berkembang dalam landskap francais Malaysia,” katanya.
Bagi tahun 2026, Pernas telah menganjurkan program BizFrancais di beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang dan Sabah, dan kini diperluaskan ke Miri, Sarawak. Inisiatif ini berfungsi sebagai platform yang menghubungkan francaisor, francaisi, bakal usahawan serta agensi kerajaan yang berkaitan, di samping membawa peluang francais lebih dekat kepada komuniti setempat.
Melangkah ke hadapan, Pernas kekal terbuka untuk memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, rakan strategik sektor swasta dan pemain industri bagi memperluaskan jangkauan serta mempergiatkan inisiatif pembangunan keusahawanan di seluruh negara.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Cik Nurshuhadah Hamid
Eksekutif Jabatan Komunikasi Strategi
E-mel : shuhadah.hamid@pernas.my
Tel No.: +603-3001 7824
Farazuha Aripin
Eksekutif Jabatan Komunikasi Strategik
E-mel: farazuha.aripin@pernas.my
No. Telefon: +6017-724 6124
PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)
Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan membantu mengembangkan komuniti keusahawanan negara.
Pernas komited untuk memperkasakan pertumbuhan keusahawanan dan industri francais di Malaysia. Dari bimbingan hingga menghubungkan jalinan rangkaian, pembiayaan dan latihan, kami menyasarkan untuk mengembangkan pengetahuan, mengukuhkan komuniti francais dan memupuk bakat francais generasi akan datang. Dengan cara ini, kami percaya ia dapat memacu perubahan positif merentasi landskap keusahawanan Malaysia
Laman web : www.pernas.my
Facebook : pernasofficial
X : @pernasofficial
Instagram : @pernasofficial

