PIFF 2025 : Platform Memperkasa Usahawan Sektor Kopi dan Kafe

21 Januari 2025 • Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 21 JANUARI 2025 – Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), agensi dikawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP) dengan sukacitanya mengumumkan peluncuran PERNAS International Franchise Festival (PIFF) 2025. Festival ini akan berlangsung dari 7 hingga 9 Februari 2025 di Dewan 4 dan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dengan tema "Brew Your Success: Empowering Entrepreneurs", PIFF 2025 ialah acara bertaraf dunia yang mengumpulkan usahawan, pemain industri, dan jenama francais khususnya sektor kopi dan kafe. Acara ini memberi tumpuan kepada para usahawan dan pemain industri menimba ilmu, menjalin kerjasama, dan meneroka potensi industri francais dan sektor kopi dan kafe di Malaysia.

Bagi membangunkan industri francais yang dinamik dan berdaya saing, PIFF 2025 bakal melakar sejarah dengan peluncuran Dasar Francais Negara (DFN) 2030. DFN 2030 merangkumi lima (5) teras utama:

  1. Menambah baik polisi dan tadbir urus francais
  2. Mempromosi francais sebagai model perniagaan pilihan
  3. Memantap kapasiti dan keupayaan francais
  4. Mengoptimum capaian bantuan kewangan kepada usahawan francais
  5. Meningkat akses pasaran domestik dan antarabangsa

Selaras dengan teras kelima DFN 2030, PIFF 2025 bakal menjadi platform para usahawan untuk menembusi pasaran global.

PIFF kali ini turut menerapkan elemen ASEAN melalui penyertaan pempamer dan acara-acara yang diadakan sempena Kepengerusian ASEAN pada tahun ini. Festival ini akan menampilkan:

  1. Penyertaan jenama kopi, teh dan kafe tempatan serta antarabangsa.
  2. Sesi rangkaian dan padanan perniagaan untuk pemain industri, usahawan baharu, dan perniagaan sedia ada.
  3. Aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga termasuk pertandingan seni latte, barista, permainan e-sukan, konsert mini, dan banyak lagi.

Selaku Peneraju Francais Malaysia, PERNAS kekal komited untuk memajukan sektor francais. Dengan pasaran kedai kopi berjenama di Malaysia mencatatkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 28% pada tahun 2023, PIFF 2025 bersedia untuk memanfaatkan momentum ini dan menyediakan platform untuk perkongsian ilmu, inovasi, dan kerjasama industri.

Dato’ Hazimah Zainuddin, Pengerusi PERNAS, melahirkan rasa teruja mengenai festival ini, berkata, “PIFF 2025 lebih dari sekadar acara, ia mencerminkan misi kami untuk memberi inspirasi dan mengangkat sektor keusahawanan di Malaysia.”

Pempamer dan penggiat industri khususnya dalam sektor kopi dan kafe yang hadir berpeluang menjalin hubungan dengan rakan kongsi global, meneroka peluan pembiayaan dan rangkaian perniagaan serta teknologi terkini dan mengakses pasaran tempatan dan antarabangsa. PIFF juga merupakan platform kepada mereka untuk mempromosikan perniagaan dan jenama mereka ke pasaran yang lebih besar.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini atau inisiatif lain PERNAS, sila hubungi:

Datin Suriani Abdul Rahman
Ketua Jabatan Komunikasi Strategik
Emel: [email protected]
No. Telefon: +603-2082 7788 samb. 7941

________________________________________________

PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)

Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan membantu mengembangkan komuniti keusahawanan negara.

PERNAS komited untuk memperkasakan pertumbuhan keusahawanan dan industri francais di Malaysia. Dari bimbingan hingga menghubungkan jalinan rangkaian, pembiayaan dan latihan, kami menyasarkan untuk mengembangkan pengetahuan, mengukuhkan komuniti francais dan memupuk bakat francais generasi akan datang. Dengan cara ini, kami percaya ia dapat memacu perubahan positif merentasi landskap keusahawanan Malaysia.

Laman web: www.pernas.my
Facebook: pernasofficial
Twitter: pernasofficial
Instagram: pernasofficial

  Muat Turun PDF

Datuk Nor Azam Bin M. Taib Dilantik Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Baharu Pernas

• Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 14 April 2025 – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mengumumkan pelantikan Datuk Nor Azam bin M. Taib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

Pernas Sumbang 400 Barang Persekolahan Melalui Program ‘Back to School’

• Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI 2025 – Dalam usaha memperkasa kebajikan rakyat dan memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang selesa