21 September 2024 • Kota Kinabalu
KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menyasarkan potensi pembiayaan berjumlah RM4 juta kepada usahawan di Negeri Sabah melalui penganjuran Karnival PERNAS 2024 pada 21 hingga 22 September 2024.
Penganjuran karnival yang julung kali diadakan ini telah disempurnakan perasmian oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Karnival ini bertujuan memperkasa keusahawanan francais dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setempat melalui perkhidmatan dan produk PERNAS dan
Agensi-agensi KUSKOP. Selain itu, ia menggalakkan penyertaan orang ramai dalam bidang keusahawanan khususnya dalam bidang francais dan mempromosi produk serta perkhidmatan usahawan setempat.
Lebih daripada 100 usahawan dan pempamer perniagaan turut serta dalam karnival ini iaitu usahawan francais, prafrancais, usahawan tempatan yang mempromosikan perkhidmatan, makanan, bahan segar, kraftangan, produk tradisional serta trak makanan.
YB Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya menyatakan karnival ini merupakan platform terbaik untuk pihak kementerian dan agensi turun padang bagi mempromosikan bidang keusahawanan kepada orang ramai.
Hari ini juga, berlangsung Sesi Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERNAS dan Serai Group Sdn Bhd (Serai Group) yang bertujuancmengukuhkan kerjasama kedua-dua belah pihak dalam pembangunan perniagaan,cpengembangan pasaran dan inisiatif sokongan keusahawanan. Juga berlangsung pengenalan produk baharu PERNAS iaitu Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (I-VIP). Program ini menyasarkan golongan pesara dan veteran untuk menceburi perniagaan francais dengan bantuan pembiayaan dan bimbingan daripada PERNAS dengan sasaran potensi pembiayaan berjumlah RM3 juta.
Selain itu, turut berlangsung sesi penyampaian sijil penyertaan kepada peserta Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH), Sijil Penghargaan kepada MIDE bersempena dengan kerjasamaa yang dilaksanakan bersama PERNAS dan penyerahan cek replika pembiayaan kepada francaisi PERNAS bernilai RM1.12 juta serta penyerahan Sijil Penghargaan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atas kerjasama penganjuran Bengkel Kesedaran Halal Usahawan MADANI Sabah.
Sehingga kini, PERNAS telah membiaya 69 usahawan di Sabah dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM12.7 juta. Secara keseluruhannya, PERNAS menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM50 juta di seluruh negara pada tahun ini.
Pelbagai aktiviti keusahawanan dilaksanakan iaitu Seminar Pemerkasaan Usahawan Bumiputera, Sesi Libat Urus Usahawan Sabah, Demostrasi Produk Usahawan, Pameran Keusahawanan dan Promosi Produk, Podcast Talk bersama usahawan dan agensi.
Hadir sama Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Thomas Logijin, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan Sabah (MIDE), Tuan Leonard Stephen Poyong, Setiausaha Tetap, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Ahli Lembaga Pengarah PERNAS dan Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS. Turut hadir Juara Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Kebangsaan 2024, Cik Hyallene Danius yang juga merupakan Duta Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) MIDE Sabah.
Untuk urusan media, sila hubungi: Datin Suriani Abdul Rahman, Jabatan Komunikasi Strategik PERNAS melalui emel, [email protected] atau hubungi talian 03-2082 7941.
_______________________________________________________________
PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)
PERNAS adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.
Mulai 2004, PERNAS mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industrifrancais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melaluikepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yangberkualiti seperti berikut:
- Skim pembiayaan yang merangkumi semua keperluan perniagaan termasuk perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja;
- Pembiayaan dan pelaburan ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor francais strategik; dan
- Khidmat latihan, bimbingan dan konsultasi untuk pembangunan usahawan ke arah perniagaan francais.
PERNAS menyediakan khidmat latihan dan skim khas untuk francaisor dan francaisi dan mengalu-alukan rakan-rakan francais ke Malaysia.
Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, PERNAS juga mempunyai lima (5) pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi.
Muat Turun PDF