Tarikh : 13 Mei 2024
Sumber : Suara Sarawak
KUCHING: Sarawak terus menjadi salah satu lokasi pilihan penganjuran program BizFrancais oleh Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) bagi melahirkan usahawan francais.
MTimbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat berkata, kementeriannya sentiasa menyokong usaha Pernas melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi (SEDC).
Beliau berharap, Pernas serta pihak yang terlibat dapat mengenal pasti dan seterusnya melatih, membimbing serta memberi bantuan pembiayaan kepada usahawan tempatan dalam membangunkan perniagaan mereka ke arah francais.
“Kita sedia maklum, terdapat banyak perniagaan francais tempatan yang berjaya di negara ini.
“Antara jenama yang cukup dikenali di peringkat domestik dan antarabangsa seperti Marrybrown, Smart Reader Kids, Tealive dan Global Art.
“Malah cukup membanggakan terdapat juga jenama francais dan prafrancais dari Sarawak yang berjaya dan berkembang maju,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada program BizFrancais Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.
Beliau berharap, para usahawan Sarawak tidak melepaskan peluang untuk membawa jenama dan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi melalui francais.
Tambahnya, kementeriannya melalui Bahagian Pembangunan Usahawan sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan perniagaan usahawan tempatan termasuk jenama yang sudah berkembang maju di Sarawak.
Ripin berkata, sinergi kerjasama antara Pernas dengan kementeriannya dapat diteruskan untuk merangka program khas bagi membantu usahawan dan bakal usahawan Sarawak dalam menembusi pasaran yang lebih luas menerusi francais.
“Hal ini adalah selaras dengan sasaran kami di kementerian untuk melahirkan usahawan belia unggul menjelang 2030,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Chek Zainuddin Chek Jusoh, Pengurus Besar Bahagian Prmbangunan Francais Pernas Mazlan Ibrahim, Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Asmawaty @ Siti Asmah Ahmad, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti SEDC Nikk Adam Abdillah KipalI dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group Kushari Abang.