Tarikh : 21 Februari 2024
Sumber : Harian Metro
KUALA LUMPUR: PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan 5,000 usahawan menceburi segmen francais dalam tempoh lima tahun.
Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 90 peratus usahawan adalah dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan berkata, sasaran itu juga membabitkan dana pemegang saham sebanyak RM1.473 bilion.
Menurutnya, Pernas yang dibangunkan sejak 1969 menjadi agensi penting dalam pembangunan usahawan dan industri francais, sekali gus melonjakkan ekonomi sejak perbadanan itu menerajui industri berkenaan pada tahun 2000.
“Pernas sudah melahirkan 5,590 usahawan francais dengan 35,000 peluang pekerjaan membabitkan pembiayaan francais sebanyak RM441 juta dan jumlah pelaburan pula dihasilkan sebanyak RM709 juta sejak 2000.
“Untuk sasaran (tempoh lima tahun) ia akan membabitkan 90 peratus usahawan PMKS. Kita mahu membangunkan mereka ke tahap lain dan mahu mereka melebarkan sayap ke peringkat lain,” katanya pada lawatannya ke Pernas di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin.
Ramanan berkata, misi pihaknya adalah membangunkan usahawan PMKS dengan menyediakan peluang untuk semua yang mana mereka bukan sekadar berniaga di gerai, tetapi boleh berjaya menembusi peluang di pusat beli-belah dan lokasi lain.
“Pernas juga sudah mengadakan pelbagai program sokongan seperti Pragram Empowerment B40 yang bukan saja diadakan di Kuala Lumpur, tetapi di negeri lain dan ini juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Ramanan berkata, Kabinet sudah memutuskan Akta Francais 1998 akan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).