Tarikh : 11 Jun 2024
Sumber : Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kehadiran pasukan antarabangsa dari Jepun, Indonesia dan Taiwan akan memeriahkan Kejohanan Ragbi Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Premier 7 Sebelah bagi merebut Trofi NJ Ryan di Kuala Kangsar dari 28 hingga 30 Jun ini.
Menurut kenyataan rasmi MCKK hari ini, kejohanan ragbi edisi ke-12 itu menarik minat 24 pasukan seluruh negara termasuk tiga pasukan luar negara sekali gus menaikkan lagi taraf kejohanan ke peringkat global.
“Lebih sengit, kejohanan tiga hari ini akan menyaksikan bekas juara edisi sebelum ini iaitu SMK Jalan Tiga (ARAS), Maktab Sultan Abu Bakar (EC) Johor Bahru, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan tuan rumah, MCKK..
“Selain itu, pencabar hebat seperti Maktab Tentera Diraja (RMC), SMK Victoria (VI) Kuala Lumpur dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) Putrajaya, akan turut beraksi merebut gelaran.
“Kejohanan MCKK Premier 7s adalah pemangkin kepada inspirasi anak muda mempamerkan bakat mereka. Malah, peminat sukan ini juga tidak sabar menantikan kejohanan yang terkenal semangat kompetitif dengan tahap permainan tinggi.”
Untuk rekod, edisi tahun lalu menyaksikan kejutan apabila SMK Jalan Tiga dinobat juara baharu pada penampilan sulungnya selepas menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) 24-0 di final.
MCKK akan terus bergandingan melahirkan bintang ragbi masa depan dan pada masa sama memupuk nilai semangat kesukanan yang berkekalan dalam kalangan belia.
Terdahulu, MCKK Premier 7s juga mengumumkan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) sebagai penaja utamanya tahun ini.