8 Jun 2024 • Kepala Batas
KEPALA BATAS, 8 JUN 2024 - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan pada tahun ini sebanyak RM5.7 juta dalam usaha memperkukuh industri francais di empat (4) negeri di utara tanah air iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
Pernas menyasarkan RM50 juta bagi keseluruhan siri jelajah program BizFrancais pada tahun ini termasuk di tiga (3) negeri Pahang, Sabah dan Sarawak. Pada tahun lalu, sebanyak RM25.23 juta telah berjaya disalurkan kepada para usahawan melalui program BizFrancais.
Pernas telah membiaya sebanyak RM53 juta kepada usahawan di utara tanah air di mana sebanyak 292 syarikat telah dibangunkan dengan pembiayaan dan latihan Pernas sejak tahun 2010.
Program BizFrancais Pulau Pinang merupakan lokasi kedua bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun 2024 selepas negeri Sarawak. Program BizFrancais telah diperkenalkan sejak tahun 2019 di mana Pernas telah menganjurkan 20 siri program BizFrancais di pelbagai negeri termasuklah Perak, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Bercakap ketika Majlis Perasmian Program BizFrancais Pulau Pinang 2024, Dato’ Hazimah Zainuddin, Pengerusi Pernas menyatakan Pernas sentiasa melaksanakan inisiatif berterusan dalam memperkasa keusahawanan francais untuk meningkatkan penglibatan orang ramai dalam bidang keusahawanan dan perniagaan serta memperkasa kapasiti dan keupayaan usahawan
tempatan.
Selain itu, ia turut bermatlamat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan sambil mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang francais.
Hadir sama YB Tuan Haji Rashidi bin Zinol, EXCO Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Negeri Pulau Pinang, Yang Mulia Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, Ketua Pegawai Operasi Pernas dan Encik Chek Zainuddin Chek Jusoh, Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor KUSKOP.
Untuk urusan media, sila hubungi: Datin Suriani Abdul Rahman, Jabatan Komunikasi Strategik Pernas melalui emel, [email protected] atau hubungi talian 03-2082 7941/012-201 7132.
________________________________________________________________
PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)
Pernas adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.
Mulai 2004, Pernas mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melaluikepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti seperti berikut:
Skim pembiayaan yang merangkumi semua keperluan perniagaan termasuk perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja;
Pembiayaan dan pelaburan ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor francais strategik; dan
Khidmat latihan, bimbingan dan konsultasi untuk pembangunan usahawan ke arah perniagaan francais.
Pernas menyediakan khidmat latihan dan skim khas untuk francaisor dan francaisi dan mengalu-alukan rakan-rakan francais ke Malaysia. Selain itu, Pernas juga menawarkan perkhidmatan lain seperti latihan, penyewaan ruang runcit dan pelaburan ekuiti.
Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, Pernas juga mempunyai enam (6) pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah (Kota Kinabalu & Sandakan) dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi.
Muat Turun PDF