Date : 3 Mac 2023
Source :Astro Awani
KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 pengunjung menghadiri Business In Transformation Expo (BITe) 2023 yang berlangsung baru-baru ini,
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad berkata ekspo tersebut akan menghimpunkan 60 usahawan program BIT bagi mempromosikan pakej mampu milik dan model perniagaan mereka selain membuka peluang kepada pengunjung menceburi bidang keusahawanan francais.
“BITe 2023 merupakan penganjuran kali kedua di mana kali pertama penganjurannya adalah pada 5 April 2021 di Putrajaya melibatkan penyertaan 39 usahawan BIT dengan jumlah pengunjung seramai 567 orang yang terdiri daripada kakitangan kementerian, agensi, badan-badan kerajaan dan persatuan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program BIT dan pakej perniagaan yang ditawarkan oleh para usahawan.
“Tahun ini, kita telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada usahawan BIT sebagai pempamer di BITe 2023 yang bertambah 2 kali ganda dari tahun 2021 dengan penyertaan 60 orang pempamer dan sasaran 2,000 pengunjung.
“Adalah diharapkan melalui BITe tahun ini, lebih ramai lagi usahawan-usahawan baru dapat menerokai dan menceburi perniagaan francais,” kata beliau dalam temu bual bersama Astro AWANI baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Suriani berkata selain pameran dan forum, antara program yang bakal dilaksanakan adalah ‘Business Pitching‘.
“Pempamer akan berkongsi mengenai perniagaan dan pakej mampu milik mereka di pentas utama bagi tujuan pemasaran dan promosi untuk menarik pengunjung menyertai sebagai rakan niaga mereka dan setiap pempamer diberi masa 15 minit untuk berkongsi perniagaan mereka.
“Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan perniagaan francais dan skim-skim pembiayaan serta latihan yang ditawarkan di Perbadanan Nasional Berhad (Pernas),” ujar beliau.
BITe 2023 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Shah Alam dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Tarikh : 11 Feb 2019
Sumber :BH Online
Perbadanan Nasional Bhd (PNS) bercadang untuk lebih agresif pada tahun ini di bawah pelan lima tahunnya dengan berhasrat untuk menjenamakan semula dirinya dalam perniagaan francais.
Pelan tindakan itu akan menekankan terutamanya berkaitan kewangan, menjadi pelabur atau pemegang ekuiti dan membawa masuk lebih banyak perniagaan francais ke dalam Malaysia.
Dengan peruntukan sebanyak RM110 juta pada tahun ini, PNS berhasrat membawa masuk sekurang-kurangnya lima francaisor induk ke Malaysia sebagai sebahagian daripada sasarannya menjana RM35 bilion sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020.
Ini akan meningkatkan sumbangannya kepada KDNK negara dari 3.4 peratus atau RM27.7 bilion pada 2017.
Ketua Pegawai Operasi PNS, Azlina Juliani Abd Jalil, berkata pihaknya telah menyerahkan pelan tindakan lima tahun itu kepada Jabatan Perdana Menteri.
“Bermula dari tahun ini dan seterusnya, kami merancang untuk melaksanakan strategi baharu dan memposisikan semula diri bagi berkembang selaras dengan pertumbuhan industri sambil kekal memberi tumpuan mempercepatkan perniagaan francais.
“Daripada jumlah peruntukan sebanyak RM110 juta, RM35 juta adalah untuk pembangunan francais, RM65 juta untuk pembangunan keusahawanan perusahaan sederhana dan RM10 juta untuk peruntukan ruang runcit.
“Kami kini menyasar untuk menjadi agresif dan menjenamakan semula diri sebagai pemain francais utama dengan matlamat membawa lebih banyak francais ke dalam negara, sekali gus meningkatkan kesan tempias perniagaan sedemikian kepada ekonomi,” katanya kepada Bisnes NSTP dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
PNS ditubuhkan pada November 1969 sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan bertujuan melaksanakan resolusi di Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua.
Pada November 2018, PNS mempunyai kira-kira 56 kedai Gloria Jeans Coffee di bawah perniagaan francaisnya di seluruh Malaysia, Myanmar, Indonesia dan Brunei sejak 12 tahun yang lalu.
Ditanya mengenai hala tuju PNS di bawah kerajaan baharu, Juliani berkata pihaknya teleh mengemukakan satu cadangan kepada Jabatan Perdana Menteri dan ia telah diluluskan.
“Dengan kelulusan itu, kami kini mempunyai pelan lima tahun mengenai bagaimana untuk memberi tumpuan dan mengembangkan perniagaan francais dengan tujuan untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan yang kemudiannya akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada KDNK negara.
“Kami merancang untuk melakukan ini dengan memperluas kumpulan pemegang francais, menyokong ekosistem francais dan pada masa sama mengenal pasti segmen pasaran yang kurang diberi perhatian namun mempunyai potensi peluang francais.
“Kami juga merancang untuk mengambil kesempatan daripada perkhidmatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan memanfaatkannya untuk mewujudkan lebih ramai usahawan dan peluang pekerjaan bagi ekonomi,” katanya. — BH Online