Date : 13 November 2021
Resouces : Sinar Harian

SANDAKAN: Usahawan di negara ini, khususnya pengusaha kecil dan sederhana (PKS) serta golongan yang pernah terkesan dengan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas, harus merebut peluang dalam perniagaan francais yang semakin berkembang.

Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, pertumbuhan industri francais negara semakin berkembang sejak 2016 dan mampu memperbaiki ekonomi para usahawan yang menceburi perniagaan itu.

“Potensi industri francais sangat besar kerana kita boleh melihat industri ini menunjukkan perkembangan positif dari tahun ke tahun.

“Menurut Laporan Tahunan Perniagaan Francais, nilai jualan sebanyak RM8.66 bilion pada 2016 telah melonjak kepada RM13.3 bilion pada 2019,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program BizFrancais Pernas di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Sukor.

Zakaria berkata, Pernas bersedia membantu usahawan yang berminat untuk menceburi perniagaan francais dan telah meluluskan RM7.7 juta pembiayaan susulan penganjuran program BizFrancais di lapan lokasi di seluruh negara sejak digerakkan pada 2019.

Bagi program itu di Sandakan, beliau berkata, Pernas mensasarkan potensi pembiayaan kira-kira RM2.97 juta.

Zakaria yang juga Ahli Parlimen Libaran turut meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk merangka kertas kerja untuk beliau bangkitkan dalam mesyuarat lembaga ahli pengarah Pernas mengenai cadangan mewujudkan satu lagi koridor di Sabah berpusat di Sandakan.

</div>
</section></div>

Date : 29 October 2021
Resouces : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjayakan Program Tindakan Sara Hidup dengan kerjasama bersama kementerian dan agensi lain, bermula tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sebagai permulaan KPDNHEP memperoleh peruntukan sebanyak RM1.5 juta melalui Bajet 2022 bagi menjayakan program terbabit.

Melalui program itu, beliau berkata, bantuan kepada kumpulan sasar diberi melalui pemberian setem makanan dengan menggunakan pendekatan e-dompet.

“Program ini sebagai permulaan kerana tahun lepas tiada peruntukan dan melaluinya KPNDHEP akan bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk membuat kajian indeks mengenai kos sara hidup.

“Selain itu, bantuan yang kita laksanakan adalah melalui e-dompet dan kita menggunakan setem makanan bukan bakul makanan seperti sebelum ini kerana mahu memastikan semua mendapat bantuan itu.

“Tiada ketirisan dijangka boleh berlaku dengan kaedah itu untuk membantu golongan sasar,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini.

Beliau berkata, kerjasama dengan kementerian lain termasuk peranan KPNDHEP sebagai sekretariat dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berupaya membantu dalam memperoleh pangkalan data mengenai golongan sasar.

Secara keseluruhan KPDNHEP memperoleh RM1.15 bilion melalui Bajet 2022 dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM58 juta.

Melalui pembentangan Bajet 2022, kerajaan melalui Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan menyediakan RM74 juta bagi menyediakan program latihan dan bimbingan perniagaan serta skim pembiayaan mudah sifar peratus selama enam bulan pertama selain moratorium kepada sesiapa yang berminat menjadi usahawan francais.

Mengulas mengenai perkara itu, Alenxander berkata, meskipun ia bukan peruntukan khusus buat KPNDHEP namun pihaknya mengalu-alukan kerana ia berupaya membangunkan perniagaan industri francais iaitu suatu cabang perniagaan menggunakan laluan bukan konvensional.

Date : 27 October 2021
Resouce : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) menyasarkan mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan membabitkan bidang francais dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata sasaran itu sejajar dengan komitmen jitu kementerian dan Pernas untuk melahirkan lebih ramai usahawan francais dengan membantu usahawan kecil-kecilan ke arah perniagaan lebih sistematik menerusi perniagaan francais.

Beliau berkata, Pernas menerusi program ‘Business In Transformation’ (BIT) atau Transformasi Perniagaan membantu peniaga kecil ke arah perniagaan francais, yang mana telah merangsang pertumbuhan model perniagaan ekonomi baharu, unik dan berdaya maju sekali gus memberi banyak pilihan kepada pengguna.

Katanya, peniaga kecil yang menyertai program itu telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka dengan penambahan outlet mereka, contohnya Putu Bambu World kini mempunyai 70 outlet berbanding 12 outlet ketika sebelum menyertai BIT.

“Jika dahulu industri francais didominasi oleh sektor makanan dan minuman, kini sektor perniagaan industri francais merangkumi sektor kecantikan dan kesihatan, pakaian, perkhidmatan dan penyelenggaraan, kedai serbaneka dan pasaraya peruncitan dan juga pusat pembelajaran serta asuhan kanak-kanak.

“Saya yakin industri francais adalah salah satu instrumen untuk merangsang ekonomi negara,” katanya pada Program Business In Transformation & Franchisor Engagement (BITFE) anjuran Pernas di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dan Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris.

Selain itu, Noh berkata, Pernas juga menyediakan program keusahawanan yang holistik dan berdaya saing menerusi Projek Be Your Own Boss (BYOB) yang disasarkan untuk golongan belia dan wanita Bumiputera menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam perniagaan francais dan pra-francais.

Selain itu, Noh berkata, kementeriannya juga telah meminta Pernas, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama dalam memudahkan urusan latihan, pembiayaan dan geran untuk usahawan francais.

Sementara itu, Zakaria berkata, Pernas menyediakan Program RECURVE yang menawarkan dana tambahan kepada usahawan bagi memulihkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukan bagi tujuan itu yang memanfaat lebih 350 orang usahawan francais Pernas sedia ada.

Katanya, Pernas juga menyediakan moratorium kepada peminjam yang layak bagi semua pembiayaan selama enam bulan dengan jumlah keseluruhan moratorium yang diluluskan adalah kepada 337 usahawan sebanyak RM9.32 juta.

“Sehingga kini, Pernas telah mengeluarkan lebih RM376 juta untuk membiaya 1,954 usahawan dan pada tahun ini, Pernas telah membiaya sebanyak RM16.9 juta kepada 55 usahawan.

“Pernas akan terus komited memastikan hasrat mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun serta melahirkan lebih ramai usahawan francais dapat dilaksanakan,” katanya.

Date : 7 October 2021
Resouce : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi di setiap kawasan Parlimen bagi membolehkan maklumat serta peluang yang disediakan agensi di bawah kementerian sampai kepada rakyat.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata banyak program dilaksanakan kementerian untuk membantu rakyat yang mahu menceburi bidang keusahawanan dan usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS), namun kadangkala tidak diketahui golongan sasar itu.

“Justeru, melalui majlis ini, yang akan mempunyai pengerusi dan urus setianya, semua agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN Nasional) akan diletakkan di bawahnya.

“Kita juga akan membabitkan pemimpin tempatan untuk membantu dan menyampaikan maklumat mengenai peluang yang ada di bawah MEDAC,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Noh memaklumkan, MEDAC turut menyediakan skim pembiayaan kepada usahawan perindustrian mikro kecil dan sederhana (PKMS) yang gulung tikar akibat pandemik COVID-19 bagi memulihkan semula perniagaan mereka.

Antaranya adalah Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro 2.0 (CBRM 2.0) di bawah TEKUN yang menyediakan pembiayaan sehingga RM20,000, Skim Pembiayaan PKS BRFlex-i di bawah Bank Rakyat dengan pembiayaan sehingga RM1 juta dan program ‘Be Your Own Boss’ (BYOB) di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dengan pembiayaan sehingga RM500 ribu.

“MEDAC juga mengambil ketetapan supaya proses permohonan pembiayaan bagi dana kerajaan di bawah agensi MEDAC tidak akan mengambil kira penilaian CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dalam tempoh pandemik ini terutama bagi usahawan yang gulung tikar,” katanya.

Mengenai bantuan kepada usahawan India, Noh berkata, TEKUN Nasional menyediakan pembiayaan khusus kepada golongan itu menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).

“Pada 2020, sebanyak RM16.8 juta kepada 617 usahawan. Bagi Januari hingga Ogos 2021, TEKUN Nasional menyalurkan RM21.6 juta kepada 917 usahawan India, berbanding peruntukan yang disediakan sebanyak RM20 juta.

“Secara keseluruhannya, sejak SPUMI dilaksanakan pada 2008, kerajaan melalui TEKUN Nasional sudah menyalurkan sebanyak RM345 juta kepada lebih 23,446 usahawan kaum India,” katanya.

Date : 28 September 2021
Resouce : Berita Harian

SEJAK diberi mandat untuk membangunkan industri francais di Malaysia pada tahun 2004, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais.

Ini termasuklah francaisor dan francaisi dan membangunkan jenama francais tempatan yang baharu bukan sahaja di peringkat domestik, malah antarabangsa.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir usahawan yang berminat untuk menyertai industri francais, namun ragu-ragu daripada sudut kemampuan kewangan kerana ada jenama francais yang memerlukan kos terlalu tinggi.

Ketua Jabatan Pembiayaan Francais, Pernas, Azizam Ali, berkata terdapat banyak jenama francais yang terdapat di pasaran dengan kos mampu milik di bawah RM250,000 mahu pun RM100,000 seperti HOME (Math Therapy Centre), Hot & Roll, Nelson, Kumon, MD Putu Bambu World dan banyak lagi.

Katanya, bagi mereka yang memerlukan bantuan pembiayaan, Pernas menawarkan skim bersesuaian untuk mencukupkan modal sumbangan daripada pemohon seperti skim pembiayaan francais, francais mikro dan juga prafrancais.

“Skim pembiayaan francais adalah khas untuk perniagaan berstatus francais sama ada francaisor atau pun francaisi. Bagi prafrancais, ia adalah khusus kepada syarikat yang mempunyai potensi francais di dalam status peralihan dari model perlesenan kepada model francais.

“Bagi perniagaan berstatus francais, ia dilindungi di bawah Akta Francais 1998 dan kontrak perjanjian manakala bagi syarikat perlesenan atau prafrancais adalah di bawah perlindungan kontrak perjanjian sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara BH: Ada apa dengan Pernas yang disiarkan secara langsung melalui Facebook BH Online, Khamis lalu.

Dihoskan oleh Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Datin Seri Fazilah Hani Harun, ia turut dihadiri Ketua Institut Francais (FI), Pernas, Dr Muhammad Hafizi Sulaiman.

Skim pembiayaan mampu milik

Azizam berkata, skim pembiayaan francais dengan kos mampu milik menawarkan fasiliti pembiayaan bagi kos sekecil RM5,000 hingga sebesar RM2 juta.

Satu skim khusus untuk francais pakej mikro di bawah RM100,000 yang dipanggil Skim Pembiayaan Kecil Francais juga disediakan dengan caj kadar keuntungan serendah tiga peratus setahun bagi tempoh lima tahun.

“Di samping itu, sebagai peneraju francais negara, Pernas menyediakan pembiayaan Skim Business In Transformation (BIT) kepada prafrancaisi (khas buat principalnya yang sedang dalam peralihan kepada sistem francais) di mana pembiayaan untuk perniagaan berasaskan kiosk dan kecil-kecilan diberikan sehingga RM25,000.00,” katanya.

Program khas untuk wanita

Pernas turut memperkenalkan inisiatif Be Your Own Boss (BYOB) yang melahirkan usahawan francais atau prafrancais dalam kalangan golongan B40 dan M40 yang menyasarkan wanita dan belia negara.

Ia didukung oleh dua program iaitu Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) dan Youth Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) khas untuk wanita yang belum mencapai usia 60 tahun dan belia sehingga umur 40 tahun.

Azizam berkata, projek ini unik dengan adanya kerjasama daripada pelbagai kementerian, agensi, pertubuhan perniagaan dan juga pemain francais dalam negara bagi mencari golongan sasar yang berpotensi dan membimbing supaya Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dapat direalisasikan.

“Peserta boleh membuat permohonan menerusi borang yang boleh didapati di laman web Pernas.

“Permohonan akan ditapis menerusi semakan kredit dan ujian psikometrik sebelum peserta diserapkan ke dalam kelas untuk menjalani latihan berstruktur selama 20 hari sebelum menjalani proses padanan perniagaan,” katanya.

Katanya, bantuan pembiayaan hanya akan diberi selepas peserta mendapat tawaran perniagaan francais daripada principal atau pemilik francais atau prafrancais.

“Selepas dana pembiayaan disalurkan, bimbingan dan pemantauan dalam tempoh kritikal enam bulan pertama akan dijalankan oleh Pernas bersama francaisor atau prafrancaisor sehinggalah perniagaan peserta berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Tawar khidmat rundingan

Sementara itu, Muhammad Hafizi berkata, FI sedia menawarkan perkhidmatan rundingan dan konsultansi dalam pelbagai bidang yang tidak terhad kepada industri francais dan latihan buat sesiapa sahaja yang berkeinginan untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang francais.

Katanya, FI menyediakan program berstruktur, bermodul dan berkualiti melalui bimbingan pelatih bertauliah serta berpengalaman.

“Kami juga memberikan latihan melalui pendekatan secara andragogi (Adult Learning Approach) supaya peserta tidak mudah bosan dan mudah faham sekiranya menghadiri program latihan.

“FI juga menawarkan Program Konsultansi Francais, Program Pemantapan Francaisor yang memberi peluang kepada usahawan francais untuk memantapkan lagi perniagaan francais dari segi operasi, pemasaran, sistem kewangan dan sebagainya,” katanya.

Modul berstruktur

FI menawarkan modul latihan berstruktur supaya usahawan boleh mempelajari serta menimba ilmu mengenai francais bermula dari asas francais sehingga ke arah yang lebih tinggi.

Untuk usahawan yang baru ingin mendalami apa itu francais, mereka boleh menyertai Program ‘Roadmap to Francais’ di mana program yang berlangsung selama satu hari ini memberi gambaran umum perniagaan francais, syarat asas pendaftaran francais, kelebihan perniagaan francais, mengenal pasti perbezaan perniagaan francais dengan perniagaan tradisional dan sebagainya.

Seterusnya, mereka juga boleh meneruskan program latihan dua hari iaitu modul ‘Why Franchising yang menawarkan dua modul iaitu ‘Franchise Business Plan’ dan Franchise Legal Requrement’.

Di dalam program ini, mereka mempelajari selok-belok dalam menyediakan rancangan perniagaan yang lebih sistematik dan efektif, selain dapat merancang idea perniagaan yang lebih terperinci, terancang untuk dilaksanakan.

Usahawan juga akan mempelajari dengan lebih mendalam mengenai akta di dalam perniagaan francais.

Seterusnya, peserta boleh meneruskan kepada program tiga modul selama enam hari iaitu ‘Financial Management’, Franchise Business Operation Franchise dan Franchise Markerting yang lebih menjurus kepada memantapkan perniagaan francais sedia ada.

Muhammad Hafizi berkata, FI turut menyediakan program pensijilan selama 10 hari untuk usahawan yang berminat.

“Antara modul yang ditawarkan adalah ‘Franchise Atmosphere’ Franchise Regulation & Legal Requirement, Franchise Relationship & People Management, Franchise Marketing dan Franchise Operation.

“Dengan adanya program pensijilan ini, sedikit sebanyak dapat membantu usahawan mengurus perniagaan dengan lebih berkesan,” katanya.

Layari laman web Pernas untuk maklumat lanjut mengenai industri francais.

Date : 30 July 2021
Resouce : Sinar Harian

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) membuka lebih banyak peluang keusahawanan terutama kepada golongan belia dan wanita dengan menyediakan program keusahawanan holistik dan berdaya saing melalui projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’.

Inisiatif ini adalah salah satu dari strategi untuk merealisasikan mandate Pernas untuk merancakkan sektor francais di Malaysia.

Selain itu, Pernas menjalankan aktiviti pembangunan sektor francais melalui program promosi, latihan, pembiayaan francais dan pra-francais, pembangunan produk serta penyelidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor berkata, Pernas kini sedang giat memacu keusahawanan francais melalui beberapa program dan produk baharu dengan matlamat untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan, meningkatkan peluang pekerjaan dan membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa sekali gus menyumbang kepada peningkatan KDNK negara.

Menurut beliau, projek BYOB yang mula diperkenalkan pada awal tahun ini menawarkan program-program keusahawanan yang menyeluruh dengan sasaran utama diberikan kepada golongan wanita dan belia menerusi program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET)” dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY).

Mengulas lanjut mengenai program SWEET dan YOUNITY, beliau menyatakan saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga 90 peratus bergantung kepada pakej perniagaan yang dimiliki.

Date : 30 July 2021
Resouce : Suara Merdeka

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) membuka lebih banyak peluang keusahawanan terutama kepada golongan belia dan wanita dengan menyediakan program keusahawanan holistik dan berdaya saing melalui projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’. Inisiatif ini adalah salah satu dari strategi untuk merealisasikan mandat Pernas untuk merancakkan sektor francais di Malaysia. Selain itu, Pernas menjalankan aktiviti pembangunan sektor francais melalui program promosi, latihan, pembiayaan francais dan pra-francais, pembangunan produk serta penyelidikan.

Mohd Hilaluddin Abd Shukor
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor berkata Pernas kini sedang giat memacu keusahawanan francais melalui beberapa program dan produk baharu dengan matlamat untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan, meningkatkan peluang pekerjaan dan membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa sekali gus menyumbang kepada peningkatan KDNK negara.

Menurut beliau, projek BYOB yang mula diperkenalkan pada awal tahun ini menawarkan program-program keusahawanan yang menyeluruh dengan sasaran utama diberikan kepada golongan wanita dan belia menerusi program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET)” dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY).

Mengulas lanjut mengenai program SWEET dan YOUNITY, beliau menyatakan saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga 90% bergantung kepada pakej perniagaan yang dimiliki. Peserta program berpeluang untuk memilih dari 38 syarikat jenama francais dan 50 syarikat pra-francais yang telah berdaftar di bawah projek BYOB dengan tawaran saiz pakej perniagaan yang bermula dari serendah RM7,500 hinggalah RM800,000.

“Peserta-peserta projek BYOB yang berjaya akan berpeluang menjadi francaisi kepada jenama-jenama francais tempatan mahupun antrabangsa. Peluang ini tidak terhad kepada jenama-jenama francais sedia ada, malah para peserta juga boleh memilih untuk memulakan perniagaan pakej francais mampu milik melalui jenama pra-francais di bawah Program Business In Transformation (BIT).

Menyentuh mengenai proses yang dilaksanakan dalam projek ini, peserta berpeluang mengikuti latihan berstruktur selama 20 hari, padanan perniagaan bersama francaisor dan pra-francaisor, menerima bimbingan, bantuan pembiayaan dan diberi pemantauan selama enam (6) bulan apabila bermulanya perniagaan bagi memastikan peserta yang menyertai projek ini berjaya dalam bidang keusahawanan dan francais.

Tambahnya, sejak program ini diperkenalkan pada Mac 2021, seramai 373 wanita dan belia telah mendaftar sebagai peserta BYOB dan seramai 150 peserta telah menamatkan latihan. Daripada jumlah tersebut seramai 123 peserta telah telah pun mendapat padanan perniagaan daripada francaisor dan pra-francaisor yang berdaftar dalam projek BYOB dari pelbagai sektor seperti makanan & minuman, peruncitan, perkhidmatan dan pendidikan.

“Melalui projek BYOB, Pernas berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan dari golongan belia, wanita dan siswazah dan kami menyasarkan 1,000 usahawan francaisi dan pra-francaisi setahun,” tambah beliau.

Program yang meliputi latihan selama 20 hari yang dijalankan secara dalam talian. Antara modul latihan yang ditawarkan adalah:

Transformasi Minda (3 Hari)
Asas Keusahawanan (2 Hari)
Keusahawanan-Kewangan (2 Hari)
Keusahawanan Rancangan Perniagaan (2 Hari)
Teknologi (1 Hari)
Keusahawanan Francais (6 Hari)
Pendigitalan (4 hari)

Beliau turut menyatakan usaha ini juga merupakan sebahagian daripada usaha memenuhi aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan melalui penjanaan sumber pendapatan yang lebih baik kepada kumpulan B40 dan M40 melalui bidang keusahawanan.

“Pernas menyasarkan 3,600 peluang pekerjaan pada tahun ini dan sebanyak 18,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima (5) tahun. Saya berharap projek BYOB ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menjana pendapatan dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Usaha ini juga seterusnya diharap mengurangkan kadar pengangguran dan mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.”

Tambahnya, Pernas juga menyasarkan untuk memantapkan keupayaan dan prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain dari membudayakan keusahawanan di segenap lapisan masyarakat selari dengan peranan Pernas di dalam melahirkan lebih ramai usahawan khususnya di dalam bidang francais melalui projek ini.

Selaras dengan itu, beliau menyeru kepada mereka yang berminat menyertai projek BYOB untuk ‘#caripernas’ dengan mendaftar sama ada program SWEET atau YOUNITY di www.pernas.my atau dengan menggunakan google form.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek BYOB sila hubungi 1800 22 1767 atau layari laman media sosial Pernas (Facebook dan Instagram @pernasofficial) atau gunakan imbas kod QR BYOB. – SM

Date : 30 July 2021
Resouce : Sinar Harian

SHAH ALAM – Hala tuju Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) tidak berubah walaupun agensi itu melaksanakan penjenamaan semula.

Mandat yang diberikan mulai tahun 2004 sebagai agensi pelaksana dalam membangunkan industri francais negara akan terus digalas bagi memantapkan lagi industri ini.

Pengerusinya, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, selaku salah satu sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, Pernas sentiasa berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri francais.

“Pernas akan meneruskan mandat yang diberikan kepada kami iaitu agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri francais negara.

“Kami akan terus merancakkan industri francais yang merupakan salah satu sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Industri francais mempunyai potensi yang besar untuk berkembang maju berdasarkan pertambahan jumlah perniagaan dan jenama dalam industri ini,” katanya dalam temu bual secara maya bersama Sinar Harian pada Rabu.

Zakaria berkata, ketika ini industri francais tidak lagi didominasi oleh sektor makanan dan minuman, sebaliknya semakin berkembang kepada pelbagai sektor.

Jelasnya, ketika ini sektor perniagaan industri francais merangkumi sektor kecantikan dan kesihatan, pakaian, perkhidmatan dan penyelenggaraan, kedai serbaneka dan pasar raya peruncitan dan juga pusat pembelajaran serta asuhan kanak-kanak.

Zakaria berkata, bagi menambah baik ekosistem francais di negara ini, Pernas turut mengambil inisiatif menjalin hubungan strategik dan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Kerjasama ini adalah sebahagian inisiatif Pernas dalam membangun dan memperkukuh sistem perniagaan usahawan-usahawan sedia ada dan bakal usahawan termasuklah peralihan daripada tenaga kerja mahir kepada usahawan francais,” katanya.

Jelas beliau, sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia, Pernas sentiasa komited dalam memajukan industri itu.

“Bagi memastikan industri francais terus berkembang dan kukuh, peranan Pernas bukan sekadar melahirkan lebih ramai usahawan francais, malah Pernas juga aktif dalam membangunkan jenama-jenama francais tempatan yang baharu.

“Kami menawarkan bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan konsultasi kepada para usahawan bagi memastikan mereka dapat membangunkan perniagaan agar lebih berkualiti dan berdaya saing,” ujar beliau.

Peluang pekerjaan

Dalam perkembangan sama, Zakaria turut memaklumkan Pernas melalui pelan lima tahun menyasarkan sebanyak 18,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam bidang francais.

Katanya, bagi menyokong hasrat tersebut, Pernas telah melancarkan dua projek terbaharu pada awal tahun ini sebagai menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan iaitu projek Be Your Own Boss (BYOB) dan projek Xcelerator.

Beliau berkata, sejak tahun 2004, pihaknya telah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.3 bilion kepada lebih 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.Beliau turut menambah bahawa Pernas akan terus komited dalam melahirkan lebih ramai lagi usahawan khususnya dalam perniagaan francais selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

“Selaras dengan penjenamaan semula ini nanti, kami menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan melahirkan ramai usahawan serta membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan.

“Penjenamaan semula PNS kepada Pernas bukan sahaja melibatkan transformasi jenama, malah meliputi kualiti perkhidmatan yang kami tawarkan kepada pelanggan dan usahawan kami,” katanya.

Selaras itu juga ujarnya, Pernas akan terus agresif dan bekerjasama dengan pihak MEDAC, kementerian-kementerian, persatuan-persatuan francais seperti Persatuan Francais Malaysia (MFA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA) dan penggiat francais untuk membawa industri ini ke tahap yang lebih membanggakan.

Pada Isnin, menerusi satu kenyataan MEDAC menyatakan pihaknya optimis penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad yang melibatkan pertukaran akronim dan logo daripada PNS kepada Pernas dapat memperkukuh kedudukan agensi itu sebagai peneraju industri francais negara sekali gus kekal relevan dalam industri.

Ia merupakan salah satu strategi untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan Pernas dalam industri francais seterusnya turut menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi-organisasi kerajaan yang lain.

Menurut Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, industri francais merupakan salah satu sektor utama selain daripada koperasi dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memberi impak penting dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Date : 21 June 2021
Resouce : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yakin penjenamaan semula Perbadanan Nasional Bhd (PNS), yang membabitkan pertukaran akronim dan logo daripada PNS kepada Pernas, dapat memperkukuhkan lagi kedudukan agensi itu sebagai peneraju pertumbuhan industri francais di Malaysia.

Ia adalah salah satu strategi untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan Pernas dalam industri francais, seterusnya turut menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi kerajaan yang lain.

Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata industri francais adalah salah satu sektor utama selain daripada koperasi serta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memberi impak penting selain menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, di samping perniagaan francais, Pernas juga membangunkan usahawan PKS ke arah francais mampu milik agar lebih ramai bakal usahawan dapat menceburi bidang perniagaan francais.

“Perniagaan francais dilihat sebagai model perniagaan pilihan usahawan memandangkan perniagaan francais ini mempunyai sistem perniagaan yang mudah diikuti dan berkesan dalam membangunkan usahawan tempatan.

“Saya amat yakin, ia dapat mencapai sasaran MEDAC melahirkan 100 orang jutawan setahun dalam kalangan PKS,” katanya dalam satu kenyataan.

Industri francais berkembang pada tahap yang membanggakan dengan peningkatan nilai jualan tahunan sebanyak 17.3 peratus iaitu RM13.3 bilion berbanding RM11 bilion pada 2019.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd Hilaluddin Abd Shukor, berkata industri francais tempatan mempunyai potensi yang besar untuk diteroka.Sehingga kini, sebanyak 1,077 syarikat francais berdaftar, yang mana daripada jumlah itu, sebanyak 68 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 negara.

Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris, berkata sejak 2004 sehingga kini, Pernas sudah mengeluarkan pembiayaan hampir RM1.3 bilion kepada lebih 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, selaras dengan penjenamaan semula itu, Pernas akan terus agresif membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan termasuklah melancarkan dua projek terbaharunya, Projek Xcelerator dan Projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’ pada awal tahun dengan sasaran melahirkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi.

Pernas dan agensi di bawah MEDAC akan bergerak seiring mendokong hasrat MEDAC menjadikan keusahawanan dan koperasi sebagai agenda utama ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan inklusif.

“Untuk tahun ini, PNS bakal melancarkan dua inisiatif baharu iaitu ‘Projek Xcelerator’ dan ‘Projek Be Your Own Boss (BYOB)’ yang menyasarkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” katanya.

Penjenamaan semula itu membabitkan pengenalan logo dan warna baharu yang lebih moden serta segar yang melambangkan sokongan diberikan Pernas melalui usaha memperkasakan usahawan. — BH.

Date : 2 Feb 2021
Resouce : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyasar untuk mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan baharu dan menyumbang sehingga RM4.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah strategi lima tahun.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata menerusi strategi itu, PNS menyasar untuk mengembangkan portfolio francaisnya sehingga 400 peratus kepada RM700 juta berbanding RM178 juta ketika ini.

Beliau berkata, ia mampu dicapai bersandarkan sasarannya untuk meluluskan 5,000 pembiayaan kepada usahawan.

“Bagi mencapai hasrat ini, PNS akan mewujudkan ekosistem francais yang lebih berkesan dengan rantaian nilai yang menyeluruh disokong oleh teknologi digital di samping memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi golongan Bumiputera melalui bidang keusahawanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Junaidi berkata, keusahawanan francais mampu membantu usahawan Bumiputera meningkatkan tahap sosio-ekonomi khususnya melalui Program ‘Business-In-Transformation (BIT)’ yang menggalakkan usahawan mengembangkan perniagaan melalui francais.

“Sejak 2005, PNS sudah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM463 juta kepada 2,529 usahawan.

“Kerjasama di antara MEDAC dan PNS membuktikan pihak kementerian dan agensi komited mewujudkan rangkaian kerjasama bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang mengadaptasi konsep perniagaan seperti ini.

“Langkah ini dilihat mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam kalangan entiti Bumiputera untuk meneroka bidang keusahawanan francais,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd Hilaluddin Abd Shukor, berkata industri francais tempatan mempunyai potensi yang besar untuk diteroka.

Beliau berkata, usahawan khususnya mikro perlu berani mengambil langkah proaktif untuk menceburi industri francais terutama dalam mengadaptasi digitalisasi.

Selain itu, katanya, Program BIT memfokuskan pembangunan perniagaan mikro bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui francais.

“Program BIT dapat membantu usahawan mikro berpotensi untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan industri francais khususnya pasca COVID-19.

“Untuk tahun ini, PNS bakal melancarkan dua inisiatif baharu iaitu ‘Projek Xcelerator’ dan ‘Projek Be Your Own Boss (BYOB)’ yang menyasarkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” katanya.

Beliau berkata, PNS memperuntukkan sebanyak RM35 juta untuk projek ini yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dengan memperkukuhkan lagi penyertaan usahawan Bumiputera, belia, wanita dan siswazah.

Katanya, ia menawarkan panduan dan latihan komprehensif, pembiayaan serta akses kepada pasaran semasa.

PNS sudah membantupelbagai jenama francais tempatan seperti Genius Aulad, Marrybrown, Menara Optometry, Asam Pedas Premier, Tealive, Smart Reader, MD Putu Bambu World membabitkan 157 cawangan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM30.5 juta. — BH.