KPDNHEP laksana Program Tindakan Sara Hidup tahun depan
Tarikh : 29 Oktober 2021
Sumber : Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjayakan Program Tindakan Sara Hidup dengan kerjasama bersama kementerian dan agensi lain, bermula tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sebagai permulaan KPDNHEP memperoleh peruntukan sebanyak RM1.5 juta melalui Bajet 2022 bagi menjayakan program terbabit.
Melalui program itu, beliau berkata, bantuan kepada kumpulan sasar diberi melalui pemberian setem makanan dengan menggunakan pendekatan e-dompet.
“Program ini sebagai permulaan kerana tahun lepas tiada peruntukan dan melaluinya KPNDHEP akan bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk membuat kajian indeks mengenai kos sara hidup.
“Selain itu, bantuan yang kita laksanakan adalah melalui e-dompet dan kita menggunakan setem makanan bukan bakul makanan seperti sebelum ini kerana mahu memastikan semua mendapat bantuan itu.
“Tiada ketirisan dijangka boleh berlaku dengan kaedah itu untuk membantu golongan sasar,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini.
Beliau berkata, kerjasama dengan kementerian lain termasuk peranan KPNDHEP sebagai sekretariat dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berupaya membantu dalam memperoleh pangkalan data mengenai golongan sasar.
Secara keseluruhan KPDNHEP memperoleh RM1.15 bilion melalui Bajet 2022 dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM58 juta.
Melalui pembentangan Bajet 2022, kerajaan melalui Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan menyediakan RM74 juta bagi menyediakan program latihan dan bimbingan perniagaan serta skim pembiayaan mudah sifar peratus selama enam bulan pertama selain moratorium kepada sesiapa yang berminat menjadi usahawan francais.
Mengulas mengenai perkara itu, Alenxander berkata, meskipun ia bukan peruntukan khusus buat KPNDHEP namun pihaknya mengalu-alukan kerana ia berupaya membangunkan perniagaan industri francais iaitu suatu cabang perniagaan menggunakan laluan bukan konvensional.