Tarikh : 11 November 2019
Sumber : Sinar
Menara Perbadanan Nasional Berhad, Bangsar South City
Perbadanan Nasional Berhad (PNS) tidak pernah melantik mana-mana syarikat, kumpulan atau individu sebagai ejen atau wakil bagi melaksanakan urusan pembiayaan perniagaan.
Dalam satu kenyataan medianya, PNS berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada orang awam mengenai tawaran pembiayaan perniagaan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen atau wakil dengan menggunakan logo dan nama PNS.
Menurutnya, sebarang permohonan dan kelulusan pembiayaan hanya dilaksanakan oleh pegawai-pegawai PNS yang dilantik dan bertugas di pejabat-pejabat PNS termasuk ibu pejabat di Menara PNS, Bangsar South, Kuala Lumpur dan lima pejabat koridor kami.
“Pejabat PNS koridor terletak di utara iaitu di Pulau Pinang, koridor timur di Pahang, koridor selatan di Johor, koridor Sabah dan Sarawak.
“Sekiranya terdapat individu atau kumpulan yang mendakwa menjadi ejen atau wakil PNS bagi membuat pembiayaan perniagaan atau mengesahkan kelulusan pembiayaan, pihak PNS berharap agar perkara tersebut dilaporkan terus kepada PNS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada satu kenyataan media.
PNS berkata, PNS tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian berkaitan dengan penggunaan mana-mana individu atau kumpulan yang bertindak sebagai ejen atau wakil bagi perkara yang berkenaan.- Sinar