Pernas Bantu Lahir Lebih Ramai Usahawan Francais
Tarikh : 12 Jun 2022
Sumber : Sinar Harian
SEBERANG JAYA – Lebih ramai usahawan francais akan dilahirkan menerusi Program Bizfrancais 2022 yang dianjurkan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) di beberapa negeri pada tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan dan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh berkata, program bertujuan membuka peluang kepada usahawan sedia ada serta bakal usahawan untuk mengetahui informasi terkini mengenai perniagaan francais.
Menurutnya, usaha terbabit akan merancakkan lagi industri francais di negara ini sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi.
“Selain melahirkan lebih ramai usahawan francais, program ini turut menjadi platform membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi tempatan yang menggalakkan peniaga-peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan sistem francais melalui program Business In Transformation (BIT).
“Melalui program ini juga, kita sasarkan akan dapat membantu sekurang-kurangnya 25 usahawan baharu dan menaikkan jenama mereka setanding perniagaan francais terkemuka di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bizfrancais Pulau Pinang 2022 di sini, pada Ahad.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim.
Mengulas lanjut, Zamri berkata industri francais di Malaysia berkembang pada tahap membanggakan apabila sebanyak 1,137 syarikat francais telah berdaftar setakat ini.
Jelasnya, daripada jumlah itu 68 syarikat francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 70 buah negara dan pencapaian itu membuktikan industri francais mendapat tempat di kalangan usahawan sebagai cabang perniagaan berdaya maju.