Tarikh : 4 Mac 2023
Sumber : BH Online
SHAH ALAM: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM50 juta kepada usahawan francais membabitkan lima skim pembiayaan di bawah agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedict, berkata lima skim berkenaan adalah Skim Pembiayaan Francaisi/Francaisor, Skim Pembiayaan Pra-Francais/ Pra-Francaisor, Skim Pembiayaan Pra-Francais (Lisensor/Lisensi), Skim Pembiayaan BIT Pra-Francaisor/Pra-Francaisi dan Skim Recurve.
“Sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak RM299 juta pembiayaan francais disediakan kepada 1,859 usahawan francais melalui pelbagai skim pembiayaan.
“Sebagai agensi di bawah KUSKOP, peranan PERNAS dalam pembangunan usahawan francais mendokong matlamat KUSKOP untuk terus memperkukuhkan dan memperkasakan bidang keusahawanan francais.
Mengulas lanjut, katanya, melalui Program Business In Transformation (BIT), peniaga mikro dan kecil dibimbing dalam usaha menaik taraf perniagaan mereka dari segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep perniagaan.
“Saya percaya Program BIT mampu membantu usahawan mikro dan kecil menjalankan perniagaan dengan lebih kompetetif dan efisien.
“Bagi penganjuran BITe 2023 ini pula, saya melihat bukan saja menggalakkan penyertaan usahawan baharu, malah dapat membantu usahawan mikro dan kecil memperkenalkan model perniagaan serta mengembangkan jenama mereka untuk pergi lebih jauh.
“Saya yakin penganjuran BITe 2023 dengan pembabitan 60 pempamer daripada usahawan BIT dapat mempelbagaikan pilihan model perniagaan, seterusnya menggalakkan penyertaan lebih ramai dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Katanya, sehingga 31 Disember 2022, PERNAS meluluskan pembiayaan kepada 313 usahawan BIT dengan jumlah RM9.9 juta.
“Tahun ini, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program BIT yang akan memberi manfaat kepada 60 orang usahawan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, RM11 juta pakej keseluruhan termasuk bantuan daripada PERNAS ditawarkan menerusi sasaran 620 bakal usahawan atau francaisi dalam BITe 2023 bermula hari ini hingga esok.
“Sebanyak 64 pempamer termasuk dalam kalangan francaisor menyertai ekspo itu untuk memberi peluang individu yang mahu menjadi usahawan dalam sektor itu dengan mengembangkan perniagaan francaisor melalui pembukaan lebih banyak cawangan di seluruh negara,” katanya.