Tarikh : 6 Jan 2023
Sumber : Harian Metro
Kuala Lumpur: Matsaleh Barber berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang fesyen dan penggayaan rambut melalui program From Barber to Mr CEO.
Ketua Pegawai Eksekutif Matsaleh Barber, Faiz Hakim Hasan berkata, ia satu inisiatif untuk mengembangkan perniagaan yang diasaskan sejak 2018 itu selepas bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
“Ini adalah pelan kerjaya yang kami sediakan kepada pekerja kami di mana mereka boleh memiliki kedai sendiri pada masa hadapan,” kata Faiz Hakim yang mengusahakan Matsaleh Barber bersama dua rakannya, Ahmad Affiq Mohd dan Nur Muhammad Sallehudin Abdul Rahim.
Katanya, menerusi program itu, dalam tempoh lima tahun, penggunting dan penggaya rambut berpotensi diserapkan ke bahagian pengurusan sebagai penyelia sebelum kemudian menguruskan kedai dan akhirnya selepas melalui proses pembelajaran, berpeluang membuka cawangan baharu Matsaleh Barber.
“Bagi merealisasikan perancangan ini, kami mewujudkan Matsaleh Academy di mana kami melahirkan penggunting dan penggaya rambut profesional mengikut pembelajaran yang kami sediakan bermula dari servis gunting rambut hingga ke bahagian pengurusan serta bagaimana untuk menguruskan kedai sendiri,” katanya.
Bermula dengan membuka khemah di pasar malam di Padang Kota, Pulau Pinang, Matsaleh Barber membuka kedai pertamanya di Tanjong Tokong dengan hanya memiliki dua pekerja.
Selepas hampir lima tahun, Matsaleh Barber kini memiliki lima cawangan iaitu di Batu Lanchang (ibu pejabat), Bayan Baru, Farlim, Bayan Lepas dan Tanjung Tokong (lokasi baharu).
“Matsaleh Barber memfokuskan kepada ketelitian servis pengguntingan dan penggayaan rambut sekali gus mengikuti trend fesyen masa kini dan faktor itu membolehkan kami dijemput sebagai tenaga pengajar oleh Giatmara Pulau Pinang,” katanya yang kini memiliki 20 pekerja.
Perkhidmatan disediakan bermula serendah RM20 untuk gunting rambut kanak-kanak dan RM30 bagi dewasa selain menawarkan pakej pada harga berpatutan seperti Swag membabitkan gunting dan cucian rambut (RM35), Gentleman (gunting dan facial – RM45) dan Premium (gunting, facial dan cucian rambut – RM50).
“Kami berhasrat mahu membantu lebih ramai anak muda dengan peluang pekerjaan sedia ada, melahirkan ramai usahawan dan akhirnya menembusi pasaran utara dan seluruh negara,” katanya yang merancang untuk membuka cawangan di Seberang Perai dan Kedah pada 2023.