Tarikh : 10 Disember 2022
Sumber : Harian Metro
Serdang: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melalui anak syarikatnya, Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (WLSB) merancang untuk membuka 16 lagi cawangan Gloria Jean’s Coffee (GJC) di seluruh Malaysia, pada tahun depan.
Pengerusi Pernas, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pihaknya dijangka menyediakan peruntukan kira-kira RM8 juta bagi 16 cawangan baharu itu.
Katanya, GJC adalah jenama francais milik Pernas serta francais induk bagi Malaysia, Brunei dan Myanmar.
“Berdasarkan peningkatan sebanyak 50 peratus dalam jualan keseluruhan cawangan, GJC optimis jenama ini semakin mendapat tempat di hati peminat kopi di Malaysia.
“Selain ilmu perniagaan, kreativiti dan penyelidikan antara kriteria yang mampu menyokong sesebuah perniagaan untuk terus berdaya saing.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri francais negara, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan bagi memastikan industri ini terus berkembang maju.
“Pernas juga terus komited melahirkan lebih ramai usahawan francais apabila setakat ini, Pernas sudah memberi kemudahan pembiayaan kepada 45 rakan francais GJC untuk memulakan perniagaan mereka dengan jumlah sebanyak RM13 juta pembiayaan disalurkan,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan cawangan ke-44 GJC di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) di sini, semalam.
Di GJC, terdapat lebih 25 menu makanan merangkumi masakan Asean dan Barat, lebih 50 jenis kek serta pastri dan 42 jenis minuman.
Dalam pada itu, Hasni berkata, bagi masa hadapan, pihaknya berharap peruntukan pembangunan Pernas dapat dipindahkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi supaya peranan Pernas ini tidak hanya daripada segi sediakan latihan dan bimbingan, tetapi juga pembangunan francais secara keseluruhan.
“Jadi, untuk tujuan itu kita akan kemukakan permohonan kepada pihak kementerian (terbabit) untuk membolehkan Geran Pembangunan dapat diuruskan oleh pihak Pernas.
“Saya juga yakin kita tidak akan menghadapi masalah untuk mencapai sasaran Pernas (16 usahawan baru francais GJC pada 2023) dan menjangkakan industri francais akan lebih berkembang lagi,” katanya.