Tarikh : 23 Jan 2023
Sumber: Berita Harian
KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) melalui anak syarikatnya, Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (WLSB), pemegang francais induk jenama Gloria Jean’s Coffees menyasarkan untuk bekerjasama dengan koperasi bagi membuka 10 cawangan baharu dalam tempoh lima tahun.
Gloria Jean’s Coffees baru-baru ini meluaskan sayap rangkaiannya dengan membuka cawangan baharu di Menara Felda – Platinum Park KLCC.
Pembukaannya disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Idris Jusoh. Cawangan ke-47 adalah kepunyaan Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Bhd (FELKOP).
Ahli Lembaga Pengarah (Exco) Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek, menyeru agar lebih banyak koperasi menceburi dan melabur dalam industri francais khususnya Gloria Jean’s Coffees kerana pihak WLSB dapat membantu pihak koperasi dari segi konsultasi, latihan dan teori serta dibimbing untuk memastikan pulangan pelaburan dapat dicapai dalam jangka masa yang ditetapkan.
“Potensi perniagaan kopi dalam bidang francais perlu diteroka oleh pihak koperasi dan diteliti secara kritis.
“Budaya minum kopi dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan perkembangan ini membuka peluang kepada mereka untuk menceburi bidang keusahawanan, sekali gus merancakkan lagi industri kopi premium negara seiring dengan usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Abu Bakar yang juga Ahli Lembaga Pengarah WLSB berkata, pembukaan cawangan oleh FELKOP diharap akan menjadi satu tanda aras kepada koperasi lain untuk meneroka peluang menceburi dan melabur dalam francais Gloria Jean’s Coffes.
“Selain itu, Pernas turut memberi peluang kepada bakal usahawan bukan sahaja kepada individu malah kepada pihak koperasi yang berminat menjadi usahawan dengan menyediakan pelbagai bentuk kemudahan seperti khidmat nasihat, pembiayaan dan program latihan untuk membantu mereka memulakan perniagaan khususnya dalam bidang francais,” katanya,
Setakat ini, Pernas meluluskan pembiayaan kepada 45 usahawan kopi Gloria Jean’s Coffees untuk memulakan perniagaan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM13 juta.
Pernas menyediakan skim pinjaman pembiayaan sehingga 70 peratus (tertakluk kepada terma dan syarat) untuk bakal usahawan.
Gloria Jean’s Coffees adalah satu-satunya jenama ‘gourmet coffee’ antarabangsa yang menawarkan sistem francais di Malaysia untuk menggalakkan ramai usahawan baharu menceburi bidang ini dan seterusnya bergelar ‘coffeepreneur’.
Gloria Jean’s Coffees menawarkan tiga konsep francais kepada yang berminat untuk menceburi perniagaan ini iaitu konsep lot kedai, kiosk dan ‘coffee cart’.