Tarikh : 1 Mac 2023
Sumber : Harian Metro
Nilai: Daripada perniagaan tradisional di tepi jalan, Goreng Pisang Crispy (GPC) kini berada di landasan tepat apabila sedang melalui tranformasi ke perniagaan yang lebih moden dan bersistematik.
Dengan bimbingan dari masa ke semasa kepada setiap ahli yang berdaftar, usahawan mikro di bawah GPC Network Sdn Bhd kini mampu menjana jualan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.
Pengasasnya, Hairul Hafizi Johari berkata, setakat ini terdapat 151 rangkaian GPC di seluruh Malaysia dan syarikat merancang untuk meluaskan rangkaian di Perlis dan Pulau Pinang, berikutan negeri terbabit masih belum mempunyai cawangan GPC.
“Saya memulakan perniagaan ini sendiri pada 2006 dengan meniaga goreng pisang rangup dan sambal kicap Johor yang beroperasi di bawah payung, tepi jalan dekat Puchong Perdana, Selangor.
“Sejak dari itu, ramai rakan memberi sokongan dan memberi cadangan supaya meluaskan perniagaan dengan menggunakan resepi GPC dan saya memulakan langkah sebelum tertubuhnya GPC Network pada 2015,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.
Menurutnya, pada 2020 dia mendaftar dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dalam usaha menjadikan GPC perniagaan francais yang lebih bersistematik.
“Kami dalam proses untuk menghapuskan perniagaan GPC yang menggunakan payung di tepi jalan kepada perniagaan yang lebih kemas dan teratur.
“Kami menawarkan tiga pakej kepada mereka yang berminat menjadi rakan niaga GPC, iaitu pakej kios berharga (RM2,500), kontena (RM25,000) dan pakej lengkap trak makanan dengan modal RM50,000,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini GPC dilihat mampu mengubah ekonomi usahawan mikro Bumiputera khususnya golongan asnaf atau B40 kerana kos yang berpatutan.
Sementara itu, usahawan GPC, Halimah Saadiah Abdullah berkata, dia dan suami ‘lumpuh’ ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), namun berjaya bangkit semula selepas menyertai GPC.
“Berbekal sedikit modal dan bantuan geran daripada kerajaan ketika itu, saya memulakan GPC pada Jun 2020 dan sehingga kini saya bersyukur kerana sudah mempunyai lima cawangan di sekitar Semenyih dengan nilai jualan mencecah RM90,000 sebulan.