Tarikh : 21 November 2022
Sumber:Harian Metro
PERMINTAAN pelanggan serta jualan berulang, ditambah pula dengan kualiti produk dan kaedah pemasaran berkesan, memastikan produk makanan sejuk beku Mamart Food terus bertahan hingga kini.
Syarikat yang mula ditubuhkan sejak 2010 itu pada mulanya hanya mengeluarkan tiga produk iaitu otak-otak, popia otak-otak serta tauhu bakar namun kini sudah memiliki 15 produk termasuk keropok lekor, pepes dan kambing perap.
Syarikat yang mula ditubuhkan sejak 2010 itu pada mulanya hanya mengeluarkan tiga produk iaitu otak-otak, popia otak-otak serta tauhu bakar namun kini sudah memiliki 15 produk termasuk keropok lekor, pepes dan kambing perap.
Pengarah Eksekutif KHM Food Industries Sdn Bhd (KHM), Hisham Mokhtar mengakui wujudnya cabaran untuk memastikan kualiti produknya sentiasa konsisten namun sudah menemui niche pemasaran mereka.
“Tumpuan kami adalah produk makanan untuk golongan peniaga yang mudah dijual dan sentiasa menerima pembelian berulang,” katanya.
Beliau mengambil contoh produknya seperti otak-otak dan satar yang dihantar ke meja makan di restoran sementara menunggu hidangan di restoran sampai, justeru stokis perlu memastikan stok dibekalkan kepada peniaga jalanan terbabit selain membekalkan produk sejuk beku kepada pasar raya.
Untuk menyeragamkan operasi, KHM tidak menjualnya terus kepada pengguna, sebaliknya menggunakan khidmat stokis dan ejen yang akan menguruskan edaran kepada peruncit dan pengguna.
“Stokis ini kita gelarkan sebagai Mamart Concept Outlet (MCO), iaitu rakan niaga yang mewakili kawasan masing-masing, mengikut daerah dan kepadatan penduduk,” kata Pengurus Besar KHM, Nor Azlina Hamdi. Mengenai kolaborasi dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Hisham menjelaskan stokis yang ingin membuka outlet akan diberikan bantuan pinjaman 80 peratus oleh Pernas untuk pakej pembukaan MCO RM25,000.
“Kerjasama dengan Pernas bermula pada 2020, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan, kami sudah memiliki stokis, tetapi tidak mempunyai struktur yang mantap dan diperkemaskan,” katanya. Menurutnya, sebelum ini, semua stokis beroperasi dari rumah dan selepas dikemaskini, semua stokis diminta menyediakan premis dan dengan adanya premis, Pernas akan memberi pinjaman.
Ketika ini Mamart Food memiliki 40 MCO dan lebih 1,000 ejen di seluruh Semenanjung Malaysia namun mereka berharap dapat melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak untuk sasaran jangka panjang.