Tarikh : 4 Okt 2022
Sumber : Dagang News
RHB Islamic Bank Berhad dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bersama agensi pembangunan usahawan dan pembangunan industri fracais di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bekerjasama melancarkan Program B40 Empowerment Strategy – Be Your Own Boss (BEST-BYOB) bagi memperkasakan 42 usahawan mikro pra-francais dalam kalangan asnaf serta komuniti B40.
Kerjasama itu merupakan inisiatif yang pertama di pasaran dalam menawarkan bantuan dana zakat bersama pakej solusi perusahaan kecil dan sederhana kepada usahawan pra-francais.
Selain dari menyediakan sokongan kewangan kepada usahawan, Program BEST-BYOB juga menawarkan dua inisiatif bagi melengkapkan usahawan mikro dengan bantuan dan kepakaran dalam membimbing usahawan mengembangkan perniagaan.
Bantuan itu merangkumi kursus latihan berstruktur, padanan perniagaan, geran, pembiayaan dan pemantauan perniagaan selama enam bulan dari tempoh permulaan perniagaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali berkata, program BEST-BYOB menyediakan saluran bimbingan dan panduan kepada usahawan mikro pra-francais berdasarkan sistem pra-francais Transformasi Perniagaan (BIT).
Katanya, menerusi program itu, peserta boleh memohon geran sehingga RM10,000 daripada RHB Islamic dengan peruntukan sebanyak RM500.000 selain pembiayaan tambahan di bawah Skim Pembiayaan Pra-Francais BIT.
“Inisiatif ini juga memperluaskan lagi jaringan ekosistem RHB Harmoni, khususnya penggunaan berasaskan nilai (VBI) dalam menjana impak positif dan mampan kepada ekonomi dan dalam melaksanakan kewangan sosial Islam.
“la juga mencerminkan sokongan kami kepada iTEKAD yang merupakan suatu inisiatif khas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggerakkan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sadaqah.
“Kami berharap agar kami dapat mempelbagaikan lagi usaha dan sokongan kepada golongan usahawan asnaf dan B40 dalam membina ketahanan kewangan dan mampu menjana pendapatan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Usahawan yang mendapat tawaran di bawah Program BEST-BYOB boleh memilih untuk menyertai antara dua pakej iaitu, Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) bagi wanita Muslim berumur antara 21 hingga 60 tahun, atau Young Entrepreneurship Engagement Talent (Younity) bagi belia Muslim berumur antara 21 hingga 40 tahun.
Peserta Program BEST-BYOB yang layak akan dipadankan dengan pelbagai jenama pra-francais di bawah sistem pra-francais BIT seperti Nab Peneram, Mekeria, Bubur Ayam Dahlia, Uncle’s Putu Piring, Golden Takoyaki dan banyak lagi.
Pemilik jenama pra-francais BIT juga berpeluang mendapat manfaat dari khidmat pakej RHB SME e-Solution oleh RHB Islamic yang menyediakan saluran perbankan internet komprehensif dan pelbagai fasiliti akaun perniagaan.
Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim berkata, kerjasama strategik dan sinergi di antara Pernas dan RHB Islamic menerusi program BEST-BYOB ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak selain mampu memberikan impak positif dalam aspek ekonomi dan sosial.
“Dari aspek ekonomi misalnya bakal usahawan dapat menjana pendapatan harian sambil mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan dari golongan B40 dan asnaf di dalam bidang francais dan pra-francais sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya.
-Dagang News